VOCALIST

Tuesday, May 8, 2012

PAK BAEN STORY : TROFI KEMENANGAN IMPIAN

Sudah adat bertanding, menang dan kalah adalah natijahnya. Mereka sanggup menelan apa saja risiko perjuangan. Begitulah tarbiyah pegangan pemain-pemain Komar Jing apabila pasukan mereka melangkah ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut. Mereka mempunyai status profesionalisma yang sangat tinggi.

Stadium Mersaka bakal jadi saksi, siapakah paling layak memenangi Piala Liga berprestij ini. Penonton mula memenuhi setiap ruang. Pelbagai bendera dan sepanduk khas pasukan dibawa mereka termasuk 'Hapuskan Rasuah' dan 'Tegakkan keadilan'. Penonton juga tidak duduk diam. Mereka bersatu hati membuat 'Mexican-wave' yang sangat cantik. Mereka juga kreatif menukar lirik 'ole-ole' kepada 'basuh-basuh' merujuk ketidakadilan yang perlu dibasuh.

Pasukan mana pun jika ditanya perihal peluang, kemenangan adalah matlamat utama. Itu adalah impian untuk sebuah pertandingan. Namun bagi Komar Jing, beraksi di 'final' juga sebahagian dari kejayaan. Ini sebagai bukti keberkesanan jentera dan kegigihan pasukan untuk berada sejauh ini. Untuk beraksi di 'final', sesebuah pasukan perlu kekuatan strategi, disiplin, mental dan fizikal yang secukupnya sebagai persediaan. Dan pasukan Komar Jing telah sempurna melakukannya.

"Preett!!" Pengadil meniup wisel tanda perlawanan sudah pun bermula. Kedua-dua pasukan saling berbalas-balas serangan. Walaupun Mejar Sapar dipalit pelbagai kontroversi, namun namanya tetap menjadi pilihan untuk mengadili perlawanan akhir itu. Siapa yang tak kenal Mejar Sapar 'Kad Merah' (jolokan yang diberikan kerana sangat pemurah kad merah). Mejar Sapar juga kerap ditemui minum-minum bersama pengurusan pasukan Timbang Tahil dikantin stadium.

Berbeza dengan lawan Komar Jing iaitu skuad Timbang Tahil, mereka memiliki kekuatan dari segala kekuatan. Sesuai dengan status 66 kali kejuaraan (termasuk piala Liga dan piala FA), Timbang Tahil cukup mewah dengan limpahan dana. Mereka memiliki prasarana yang sangat canggih untuk pembangunan latihan. Dengan kuasa wang yang dimiliki, tidak hairanlah mereka sering dikaitkan dengan skandal penyelewengan, rasuah dan seks. Barangkali Timbang Tahil sudah terlalu lama memegang status juara kata beberapa pengkritik sukan tempatan.

Selain itu Timbang Tahil sentiasa mendapat publisiti 'gila'. Disebabkan terlalu kerap menang, mereka telah menguasai saluran-saluran media perdana. Apa saja mengenai pasukan TT sama ada yang baik atau gosip buruk sentiasa jadi sensasi. Inilah situasi 'win-win' yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Penalti ref!!" Rayu Lebai Payat, penyerang sensasi Komar Jing menuntut sesuatu apabila terang-terang dijatuhkan oleh pertahanan Timbang Tahil, Pak Baen. Penyokong-penyokong Komar Jing turut bangun membantah. "Apa ni?!!" Jerit mereka.

Pada hari pertandingan, Komar Jing dengan baki kekuatan yang ada bagaimanapun tetap masuk ke padang secara 'gentle'. Satu kelebihan yang mereka miliki, penyokong mereka biarpun rata-rata orang kampung dan miskin tapi mereka datang dengan duit poket sendiri. Dan mereka tidak sekali-sekali mengkhianati semangat pertandingan.

Di perlawanan akhir kali ini semua penyokong Komar Jing mengenakan warna kuning. Mereka katanya secara senyap ingin membantah beberapa ketidakadilan pihak penganjur. Sudah getik untuk melihat trofi kemenangan dimiliki pasukan Timbang Tahil.

"Nombor 10! Datang sini!!". Merujuk kepada nombor jersi Lebai Payat. "Wah!!" Penonton bangkit beramai-ramai. Kad merah telah dilayangkan kepada Lebai Payat. "Jangan bantah pengadil lain kali..!!"

Penyokong-penyokong pasukan Komar Jing yang dari tadi mendesak diri supaya bersabar dan berdisiplin mula bertindak balas.

"Ini sudah lebih!!" Kata mereka.

Bungkusan-bungkusan burger yang dibeli dari penjaja distadium dilihat melayang-layang diudara. Keadaan sedikit baik kerana larangan dan kawalan membawa senjata dikenakan kepada penonton. Ucapan terima kasih layak diberikan buat penguatkuasa atas kecekapan mereka.

Kedatangan penyokong-penyokong Komar Jing kali ini bukan semata-mata untuk menyaksikan harapan kemenangan buat pasukan mereka. Kali ini jumlah mereka sangat ramai dan didapati lebih komited. Mereka sanggup lupakan kampung halaman, tinggalkan ayam, itik, lembu, kambing, sawah dan getah, semata-mata menunaikan impian kemenangan ini.

Semua peminat Komar Jing tahu adalah jarang-jarang sekali pasukan mereka beraksi 'live' di TV (Kalau ada sekalipun ianya bicara keburukan). Kesempatan ini digunakan untuk memberitahu dunia bahawa selagi rasuah dan penyelewengan dalam bolasepak tak dibendung secara 'total', selama itulah semua pencinta bolasepak akan turut dizalimi. Jelas sekarang, mereka turut mempertaruhkan maruah negara yang selama ini telah dipijak teruk oleh penganjur yang korup.

No comments:

Post a Comment