“Semulia-mulia pemimpin ialah mempunyai adab pekerti yg tinggi ketika berada pada kedudukan tinggi, pemaaf ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika memiliki segala kekuatan” petikan kata Khalifah Abdul Malik Bin Marwan
Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan pada tahun 26 Hijrah (646 Masihi). Ibunya bernama Aisya bt. Mu'awiyah b. al-Mughira.
Ketika beliau berusia 16 tahun, Abdul Malik b. Marwan telah mengetuai pasukan tentera Madinah melawan Byzantine ketika pemerintahan Mu'awiyah.
Beliau adalah khalifah Bani Umayyah yang kelima yang memerintah dari tahun 65 Hijrah - 86 Hijrah (685 - 705 Masihi).Khalifah Abdul Malik b. Marwan sempat melakukan pembaharuan seperti mengeluarkan matawang mas, mengumpul kembali Mushaf Uthman, dan lain-lain. Pada akhir hayatnya, Abdul Malik b. Marwan berhasrat melantik anaknya Al-Walid bin Abdul Malik sebagai Khalifah. Pada zamannya juga Qubbat As-Sakhrah telah dibina di Baitulmuqaddis.
Tidak diketahui apakah yang menyebabkan Khalifah Abdul Malik bin Marwan menyebut tiga perkara ini. Dan, yang paling penting, kepada siapakah ia ditujukan?
Merendah diri pada kedudukan tinggi
Mari kita teliti bersama. Pada ketika seseorang penguasa itu berada pada kedudukan yang sangat tinggi, mudahkah dia merendah diri?
Mungkin ada yang masih dapat merendah diri, tapi berapa ramai penguasa yang boleh dengar pandangan orang ketika mereka sudah berada di puncak kekuasaan? Rata-rata, mereka melihat pandangan orang bawahan itu bagaikan sampah.
Aksi drama lakonan pemimpin ketika turun padang, beramah mesra dan berjabat tangan dengan yang dipimpin masih belum menunjukkan mereka merendah diri.
Merendah diri itu bukanlah dengan jalan tunduk, terbongkok-bongkok di hadapan tetamu, bersuara lembut dan lunak kepada khalayak. Tetapi, ia dinilai dalam mesyuarat dan syura antara komuniti masyarakatnya. Adakah mereka boleh dengar pendapat bawahan?
Jadi, jalan turun padang, bersalaman dengan orang-ramai seperti yang ditunjukkan dalam tv itu bukan kayu ukur yang kuat, untuk mengesahkan sikap, perbuatan merendah diri.
Memaafkan musuh ketika berdaya membalas
Sikap kedua ialah, memaafkan musuh ketika berkuasa. Jika hal ini terlaksana, rakyat kita pasti bertambah lega dan aman. Ketika ini wujud kecenderungan di pihak penguasa untuk menghukum rakyat apabila mereka terpilih.
Dalam mana-mana keadaan, kita dapat melihat bahawa kebanyakan penguasa berdendam dan dengan sebab itulah rakyat pun berdendam.
Tidak dapat tidak, kita mesti mengakui bahawa sahabat-sahabat Nabi lah antara yang amat baik dijadikan contoh teladan dalam hal ini. Saidina Ali r.a misalnya pernah dalam suatu peperangan, beliau hampir membunuh seorang Yahudi.Demi melihat Yahudi itu meludah ke arah wajahnya, maka Ali r.a tak jadi membunuh. Maka hal itu tentu sahaja membenihkan pertanyaan dalam dadanya.
"Apa yang menyebabkan engkau tidak jadi membunuhku?" tanya lelaki itu.
Maka, jawab Ali r.a, "Kami diperintahkan berperang di jalan Allah. Tapi, saat kau meludahi wajahku, aku khuatir membunuhmu kerana dendam dan bukan kerana Allah."
Terpesona dengan perawakan dan kejernihan hati si sahabat yang dibina peribadinya oleh madrasah Rasulullah itu, maka si Yahudi pun mula lembut hatinya memeluk Islam.
Sebelum dilantik sebagai khalifah, Sayyidina Ali k.w telah menunjukkan sifat mulia, iaitu memaafkan musuhnya ketika beliau terdaya membalasnya.
Ternyata, ada riwayat gelap dalam sejarah Islam menjelang berlakunya bertukaran antara Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah. Habis kawasan perkuburan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah dimusnahkan setelah Bani Abbasiyyah berkuasa.
Antara yang terselamat dalam gempuran itu ialah kubur Umar Abdul Aziz. Oleh kerana pemerintahannya adil, maka golongan Abbasiah menghormatinya selepas kematiannya. Ternyata, ketika berkuasa memang sulit menahan diri daripada membalas dendam.
Bersikap adil ketika kuat
Sikap ketiga ialah adil ketika ada kuasa, pengaruh dan segala-galanya dalam menjalankan pemerintahan. Sikap Umar Abdul Aziz yang begitu ‘detail’ mengenai keadilan dan sentiasa berpesan kepada kebenaran terutama pada anaknya sangat dimuliakan
Begitupun kita tak perlu meninjau sikap para pemimpin terdahulu untuk bermuhasabah, cukup melalui apa sahaja contoh yang terbentang di depan mata kita. Kita tidak perlu beramal dengan isi al-Qur'an secara keseluruhan untuk menjadi pemimpin yang terbaik. Cukup dengan cara melihat apakah kita mampu melaksanakan pesan Abdul Malik bin Marwan itu?
No comments:
Post a Comment