VOCALIST

Friday, August 31, 2018

KINI MERDEKA PERGI

Longgokan dosa
Hasad dan iri
Janji dan khianat 
Debu habuk kotor
Cungap nafas si ikan
Sisa terbuang
Perasaan buat tak endah
Perihatin yang hilang
Fitnah dan perangai songsang
Terencat zikir sang tumbuhan.

Setelah hujan turun 
Sekali air lalu 

Membawa semuanya pergi.

Monday, October 31, 2016

TOK GURU BAHAS BAJET 2016

Alhamdulillah, tengah hari tadi tibalah giliran YB Marang, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membahaskan Bajet 2017. Fokus ucapan beliau ialah mengenai RUU 355, GST dan TPPA.
Ucapan beliau sememangnya dinantikan sepertimana ramai yang tengah menunggu bilakah Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta 355 dibahaskan?
Saya kongsikan di sini intipati utama ucapan perbahasan beliau:

Pada tepat jam 12.45 tengah hari, Tuan Guru Presiden memulakan ucapan dengan membaca Firman Allah, dalam Surah Al  Maidah ayat 2 yang bermaksud: "Bertolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan sesekali bertolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan."

Segala perancangan yang dilakukan oleh manusia mesti mempunyai kelemahan, ada perkara yang positif dan ada yang negatif. Kita menyokong perkara yang positif seperti meluluskan peruntukan untuk jentera kerajaan, keamanan, dan keselamatan demi kepentingan negara dan rakyat umum. 

Pada masa sama, kita perlu mengambil kira kelemahan yang berlaku seperti kebocoran, salah laku, dan sebagainya yang perlu diambil tindakan sewajarnya agar bukan sahaja duit yang selamat tetapi rakyat dan negara ini selamat. 

Bagi mencapai tujuan itu, Islam berpandukan Al-Quran mengemukakan asas yang kukuh sepertimana Firman Allah dalam Surah Al Haj ayat 41 yang bermaksud: "Orang-orang yang kami berikan kuasa pemerintah di muka bumi, di dalam negeri, mereka hendaklah mendirikan solat, menunaikan zakat, amar  makruf nahi mungkar, kepada Allah segala urusan."

Kita membina negara dalam keadaan masyarakat majmuk berbilang kaum. Ini tidak menjadi masalah walaupun ianya diwujudkan oleh penjajah untuk melaga-lagakan kita.Ia dapat disempurnakan sekiranya kita menerima realiti manusia sejagat hidup bermasyarakat. 

Semua orang menerima Rukun Negara:

a) Kepercayaan kepada Tuhan
b) Kesetiaan kepada Raja dan Negara
c) Keluhuran Perlembagaan
d) Kedaulatan Undang-Undang
e) Kesopanan dan Kesusilaan

Kita telah meletakkan asas yang kukuh iaitu Perkara 3 (1) Perlembagaan; “Islam ialah agama bagi Persekutuan ; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim ada menulis dalam buku yang bertajuk "Islam dalam Perlembagaan", yang memetik minit Suruhanjaya Reid yang berbincang mengenai Artikel 3 (1) setelah mengambil kira memorandum yang dihantar oleh Parti Perikatan. 

Pada era menjelang kemerdekaan, PAS sudah ada 1 kerusi menjadi pembangkang dalam keadaan parti pembangkang lain belum pun wujud.

Al-Quran ada mengatakan tidak ada paksaan dalam beragama kerana ia kepercayaan di dalam hati yang tidak boleh dipaksa. 

Al-Quran juga menyebut "sekiranya orang bukan Islam itu mahu berhukum dengan hukuman mereka sendiri, mereka tidak dipaksa."

Tuan Guru Presiden menzahirkan dukacita apabila beliau mengemukakan usul persendirian bagi meminda Akta 355, timbul desas-desus dan ucapan yang sangat negatif.

Sepatutnya kita menerima apa yang sudah ada di dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan mengenai kuasa negeri. islam termasuk dalam kuasa negeri.

Usul yang dikemukakan adalah mengenai Mahkamah Syariah yang melibatkan orang Islam sahaja, tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam. Akta ini diluluskan pada tahun 1965, Singapura masih ada dalam Malaysia. Mendiang Lim Kuan Yew berada dalam Parlimen, tidak ada apa-apa bantahan. 

Pada tahun 1984, ia dipinda dengan tidak ada apa masalah yang berlaku. 

Namun, apabila saya mengemukakan hal ini telah timbul masalah sehingga boleh menghasilkan salah faham di antara satu sama lain. Kita mahukan urusan umat Islam ini diberikan kepada orang Islam sahaja sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, terpulanglah kepada mereka, tidak perlu timbul isu yang boleh menyebabkan ketegangan. Pihak media juga berperanan dengan baik dan sihat untuk menghasilkan masyarat majmuk yang bersatu-padu. 

Pada ketika ini, YB DAP Bandar Kuching bangun mencelah bertanya mengenai usul 355 dengan berkata ini usul Hudud:

a) Mengapa YB Marang merelakan PAS diperalatkan oleh PM Najib?

b) Adakah YB Marang sedar tindakan ini telah memecah-belahkan perpaduan pembangkang dan memusnahkan harapan rakyat yang mahu menyelamatkan negara ini daripada Umno?

c) Adakah YB Marang sedar tindakan ini telah menggugat asas pembentukan Malaysia?

d) Adakah YB Marang sedar usul YB sudah diturunkan dan sekiranya ianya dinaikkan pun, Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak, tidak akan menyokong usul ini kerana ia telah melanggari terma persetujuan kemasukan Sabah dan Sarawak ketika pembentukan Malaysia?

e) Apakah ada udang di sebalik batu apabila wujud persetujuan sulit antara YB Marang dan PM sehingga UMNO boleh kekal mentadbir negara ini?

Seterusnya, YB PAS Kota Bharu yang juga Ketua Whip PAS bangun bertanya adakah YB Marang bersetuju bahawa Usul RUU Persendirian ini adalah suatu perkara yang dibenarkan berpandukan Peraturan Mesyuarat  yang membolehkan kesemua Ahli Parlimen berhak mengemukakannya dan sepatutnya proses demokrasi ini dihormati. Persoalan hendak menyokong atau menolak itu hal yang lain, tetapi untuk menyekat hak Ahli Parlimen membawanya adalah bercanggah dengan amalan demokrasi.

Lantas, Tuan Guru Presiden menjawab bahawa usul ini bukannya Hudud. Perkataan Hudud perlu diperjelaskan, ia bermakna sempadan (border). Ia adalah undang-undang jenayah Islam yang disempadankan oleh Al-Quran dan Hadis yang tidak boleh diijtihadkan atau dipinda oleh penganut Islam. 

Undang-undang jenayah Islam adalah kuasa negeri, terpulanglah kepada negeri masing-masing untuk mengemukakannya. Hudud, Qisos, dan Takzir adalah undang-undang jenayah Islam. Terpulanglah kepada Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang.

Usul yang dikemukakan adalah mengenai Mahkamah Syariah untuk memperkenalkan bagaimana konsep, sistem, dan peraturan mahkamah. Adalah tidak adil untuk kita melaksanakan undang-undang Islam tanpa perlu kepada mahkamah.

Mahkamah ini telah wujud zaman-berzaman, ada juga pada zaman British. Apa yang berlaku hari ini, Mahkamah Syariah lebih rendah daripada Mahkamah Majistret. Ini sangat mendukacitakan bagi penganut Islam.

Tidak salah bagi orang bukan Islam mengemukakan undang-undang mengikut agama mereka sendiri. Di dalam Bible Old Testament yang dikenali sebagai Taurat, ada juga undang-undang Hudud dan Qisas. 

Berkenaan mengapa usul ini turun naik gilirannya, ianya bukan urusan beliau kerana beliau hanya mengemukakan usul. Terpulanglah kepada mereka (Parlimen) mahu meletakkan pada nombor berapa  sama ada 1, 10 atau 40 pun. 

Berkenaan adakah wujud udang di sebalik batu, beliau tidak tahu pula sama ada ada udang, ikan, mahupun buaya di sebalik batu.

Rujuklah kembali Peraturan Mesyuarat. Usul ini beliau pernah mengemukakannya pada tahun 1990-an dahulu ketika YB DAP Bandar Kuching belum pun berada di dalam Dewan. 

Mengikut Standing Order (Peraturan Mesyuarat), usul RUU Persendirian hendaklah diusulkan oleh seorang menteri, barulah usul ini dibawa dan dibenarkan oleh Parlimen barulah ia dikira sebagai Bacaan Kali Pertama. Beliau sudah mengemukakan usul ini beberapa kali, tetapi tidak dapat. 

Di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual kesembilan, Perlembagaan Persekutuan menyebut dengan jelas mengenai undang-undang Islam adalah kuasa negeri masing-masing, dan Mahkamah Syariah hanya boleh menghukum penganut Islam sahaja. 

Bangun pula, YB DAP Tanjung yang bertanya, berdasarkan hujah YB Marang tadi bahawa tiada paksaan kepada Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, adakah mereka diberi kebebasan untuk tidak memberikan sokongan ketika RUU ini diputuskan nanti?

YB PAS Kota Bharu pula bangun mencelah dan memaklumkan mengenai ketika pindaan Akta 355 pada tahun 1984, meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, tidak ada pun Ahli Parlimen bukan Islam yang berbahas sedangkan Ahli Parlimen DAP Gelang Patah (Lim Kit Siang), dan Kepong (Dr Tan Seng Giaw) ada di dalam Dewan. Bahkan, ketika ia dibawa ke Dewan Negara pada 18 Disember 1984, yang membawanya ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dan disokong oleh Menteri Kehakiman dan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr James P. Ongkili yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Sabah. 

Tuan Guru Presiden PAS menjawab bahawa Perlembagaan sudahpun memberikan hak ini sepertimana dalam Perkara 3(1) dan kita juga ,menghayati konsep demokrasi berparlimen. Adapun mengenai sikap mereka mahu menyokong, membangkang, berkecuali adalah hak masing-masing yang tidak boleh dipaksa. 

Kita bawa ke Parlimen ini pun kerana memahami prinsip demokrasi, perlembagaan dan rukun negara.

Ketika pemerintahan Islam selama 1000 tahun lebih di kawasan yang sangat luas, tanpa ada alat canggih moden seperti hari ini boleh menangani masyarakat majmuk. Penganut bukan Islam yang tidak mahu berhukum dengan undang-undang Islam dibenarkan mempunyai mahkamah mereka sendiri.

Dialog harmoni perlu diadakan dengan menghimpunkan tokoh agama masing-masing dan inilah cara yang terbaik bagi memelihara keharmonian negara ini tanpa perlu ada rasa sangsi dan takut antara satu sama lain. 

Dalam hal berkenaan ummat Islam adalah tanggungjawab semua tanpa mengira fahaman politik kerana ia adalah kepentingan bersama. Sememangnya wujud rundingan peringkat politik, pegawai kerajaan pusat dan negeri. Dalam hal berkaitan kehidupan seperti lebuh raya, Jambatan Kedua Pulau Pinang adanya rundingan, maka adakah salah kami berunding dengan Kerajaan Pusat? 

Seterusnya, Tuan Guru Presiden memfokuskan ucapan dalam hal ekonomi. GST adalah cukai darurat, adanya perkara tersurat, wujud juga yang tersirat. Kerajaan berkata ekonomi kita sangat kukuh, kuat, bermakna kita bukan dalam keadaan darurat. 

Dalam keadaan darurat pun, Islam menetapkan syarat iaitu tidak ada sumber-sumber lain. Perkara seperti ketirisan, salah guna kuasa pembaziran perlu diselesaikan. GST ini membebankan rakyat, inflasi meningkat sehingga 3.2% sehingga berlakunya peningkatan barang keperluan rakyat.

Tuan Guru Presiden menegur Kerajaan dalam hal pemberian BR1M kerana ianya umpama memberi ikan, bukannya kail. Pastinya selepas habis nanti, mereka akan meminta lebih banyak. Meningkatnya peruntukan BR1M bermakna meningkatnya bebanan kerajaan. Sepatutnya kaedah memberi kail seperti subsidi kemudahan perikanan, pertanian, nelayan. Pengawalan terhadap alam sekitar dan hasil di laut juga perlu diperkemaskan.

Akhirnya, isu antarabangsa TPPA. Kerajaan perlu membuat kajian dalam keadaan ekonomi Amerika dan Barat yang tidak kukuh, dalam suasana keamanan dunia yang tidak boleh dijamin antara Timur dan Barat yang kini berubah menjadi perang panas setelah berakhirnya perang dingin. Maka, kerajaan perlulah mengkaji semula TPPA.

Kesimpulannya, dapatlah kita lihat sendiri bagaimana kemampuan Tuan Guru Presiden PAS berhujah dengan fakta, rasional, beradab dan tenang walau diprovok. Ada pihak yang sering menyebar cereka kononnya Tuan Guru Presiden PAS cenderung membela PM Najib dan Kerajaan Umno, tetapi hakikatnya anda yang membaca dan menonton rakaman ucapan dapat menilai sendiri. Sepanjang 30 minit ucapan beliau, adakah ayat yang Tuan Guru Presiden PAS memuji, dan mempertahankan PM Najib. Beliau berucap atas prinsip kebenaran dan menegur pemerintah dalam hal GST, BR1M, TPPA dan hentikan segala penyelewengan. 

Beliau menunjukkan kepada kita bagaimana berperanan sebagai pembangkang yang menasihat kesilapan kerajaan dan bekerjasama dalam perkara kebaikan selaras dengan prinsip taawun yang diajar di dalam Islam. 

Kita teruskan berdoa Tuan Guru Presiden PAS diberikan kekuatan apabila tiba masanya nanti bagi membentang dan membahaskan RUU 355 yang pastinya lebih getir dan hangat suasananya nanti. 

Catatan oleh:
Syed Ahmad Fadhli 
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS 
Menara Parlimen
09.55 malam, 26 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 27/10/2016

Thursday, September 22, 2016

BUTA AL-QURAN ATAU MUSUH ISLAM

Ramai yang membuat kenyataan sama ada berbentuk lisan atau tulisan apabila dikemukakan permohonan kebenaran daripada Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1), mencadangkan Rang Undang-undang Persendirian, bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016.

Tujuan pindaan ialah untuk mengangkat taraf Mahkamah Syariah warisan penjajah yang menghinakan, kerana meletakkannya lebih rendah daripada  mahkamah paling rendah ciptaan manusia, sehingga terdapat kesalahan maksiat hukumannya  lebih rendah daripada kesalahan membuang sampah dan merokok.

Cadangan pindaan melibatkan hal-hal kesalahan yang disenaraikan dibawah Jadual Kesembilan Undang-Undang dibawah kuasa Kerajaan Negeri dan Raja Raja, supaya boleh menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh Undang-Undang Syariah yang sebenar. Cadangan pindaan adalah sekadar kemampuan yang memerlukan suara majoriti mudah lebih satu undi  yang hadir di parlimen sahaja. Pindaan tidak melibatkan hukuman yang berat seperti hukuman mati yang mewajibkan pindaan 76(a) daripada Perlembagaan yang berhajat kepada majoriti 2/3 yang belum di bolehkan.

 

Sebenarnya Rang Undang-Undang tersebut bukannya Undang-Undang Hudud, namun ramai yang melabelkannya "Hukum Hudud" yang menjadi senjata lama untuk menyerang PAS sejak tahun 50 an lagi , sehingga gegak gempita dan riuh rendah. Mereka melabelkan semua  undang-undang Jenayah Hukum Syariat Allah, daripada Qisas, Hudud sehinggalah Takzir dan terkini Mahkamah Syariah, semuanya dimasukkan ke dalam bakul Hudud yang sangat dibenci sehingga ke dalam lubuk hati dan masuk ke tulang hitam.
 
Walaupun Rang Undang-Undang ini bukan Undang-Undang Hudud, tetapi lebih bersifat “Pra Sarana Mahkamah Syariah” yang membuka konsep Islam yang sebenar yang wajib ditashihkan daripada penafsiran Surahanjaya Reid yang dibentuk oleh Penjajah dahulu menyebabkan salah faham terhadap Islam. Ia sepatutnya dipinda, kerana kita sudah merdeka mencecah setegah abad.

Tujuan penjajah  ialah untuk menutup  keadilan Islam secara umum, serta menidakkan konsep mendidik masyarakat yang wujud dalam Sistem Kehakiman Islam, bukannya seperti kehakiman ciptaan penjajah yang lebih bersifat menghukum dan mendera. Pindaan yang dicadangkan itu, temasuk dalam perkara umum yang wajib diperjuangkan oleh penganut Islam tanpa mengira fahaman politik dan kedudukannya dalam kerajaan atau pembangkang, termasuk semua lapisan masyarakat Islam yang berada di luar Parlimen. Sehingga DYMM Yang Dipertuan Agong meletakkan dalam titah perasmian Dewan Rakyat pada bulam Mac yang baru berlalu supaya menaikkan taraf Mahkamah Syariah.

Sepatutnya dibincangkan berkenaan Mahkamah Islam yang berkonsepkan iman dan akhlak dalam perkara kehakiman dan keterangan, seperti syarat-syarat hakim yang adil dari segi peribadinya, bukan sahaja ilmu perundangannya, bahkan termasuk jasad, roh dan akalnya, beriman dan tidak fasik. Syarat-syarat saksi juga beriman dan tidak fasik, bermaksud berakhlak mulia dan bermaruah tinggi. Betapa Islam meletakkan dosa besar terhadap hakim dan saksi yang zalim sehingga diseksa dalam kubur dan neraka, walaupun terlepas bebas dialam dunia ini. Elemen inilah yang tidak ada dalam undang-undang  ciptaan manusia yang banyak kelemahannya.

Tiba-tiba semuanya menjadi Hukum Hudud pula yang menjadi sasaran, walaupun termasuk dalam urusan negeri dan raja-raja dan bagi penganut Islam sahaja. Sepatutnya diketahui perbezaan Hukum  Islam secara umum, yang sangat beradab dan rahmat, perbezaan hukuman sebatan yang sama sebutan perkataannya dalam undang-undang Islam dan undang-undang yang lain, tetapi Islam berbeza dengannya kerana syarat -syarat yang sangat ketat, namun ilmu berkaitannya ditutup rapat dan disekat ilmu dan pemahamannya dengan akal yang waras. Ada pun undang-undang bunuh yang tidak ada kuasa bagi Mahkamah Syariah, seperti hukuman mati dijerut leher dengan tali gantung yang sangat kuno atau purbakala, begitu juga hukuman sebatan yang sangat keras dan kejam sehingga cacat dan boleh menyebabkan kematian, ditutup  mulut, disumbat telinga dan dikunci akalnya, kerana diyakini bahawa kalangan bukan Islam akhirnya lebih memilih undang-undang Islam, inilah sebenarnya yang dirasa takut tanpa ketahuan dan cemburu buta.

Perlembagaan telah menetapkan urusan agama dibawah bidang kuasa DYMM Raja-Raja dan Kerajaan Negeri. Perlembagaan juga menegaskan bahawa bahawa Mahkamah Syarih mempunyai bidang kuasa terhadap penganut agama Islam sahaja,  Mahkamah Syariah tidak ada kuasa terhadap penganut bukan Islam (Jadual kesembilan II). Mengapa kalangan bukan Islam menentang? Ada yang Islam juga gila-gila  menentang. Walau pun perkara ini diluar tajuk asas Usul Persendirian, tetapi dijadikan hujah untuk merendahkan Mahkamah Syariah yang sepatutnya dimuliakan. Dimana letaknya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan (1) Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana bahagian Persekutuan. Tiba-tiba Makamah Syariah bagi penganut Islam lebih rendah kuasanya daripada Mahkamah paling rendah. Cukuplah masa setengah abad umat Islam dibodohkan.

Hanya mereka yang buta Al-Quran melabelkannya Hukum Hudud ciptaan PAS, bahkan tidak boleh dicipta oleh Nabi Muhammad SAW. Biarkan hanya mereka bersama penjajah menentang Hukum Allah terus rela tenggelam bersama kejahilan dan kebebalan mereka.

Walaupun PAS telah memperkenalkannya melalui proses demokrasi suara majoriti umat Islam di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu sahaja, serta dipamerkan kepada umum khususnya kalangan bukan Islam, dalam dan luar negara, namun masih ramai kalangan penganut Islam yang buta Al-Quran mengulas dengan akal jahil agamanya.

Bagi meraikan mereka yang jahil, khususnya jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil), sehingga kini Undang-Undang Syariat Allah terpaksa ditangguhkan pelaksanaanya dengan sebab mereka, walaupun mereka juga mengaku menganut Islam. Walau pun sudah dilulus dan diwartakan di dua buah negeri Kelantan dan Terengganu, namun belum berkuasa melaksanakannya kerana terhalang.

Sungguh malang mereka yang menyerang dan menghalang Undang-Undang Hudud lebih bersimpati terhadap pejanayah, daripada mangsa individu dan mayarakat yang malang, dalam masa yang sama  terus menjadi menjadi khadam kepada penjajah yang sudah keluar daripada tanahair tercinta ini.Tiba-tiba mereka pula mengambil kerja penjajah.

Sangat malang bagi penganut Islam yang tidak bersetuju menaikkan taraf Mahkamah Syariah  kerana menghina agamanya sendiri, maka apa ertinya menjadi penganut Islam sekadar baka dan keturunan, yang tidak menjadikannya hujah setelah meninggal dunia dan bertemu Allah, kerana termasuk dalam firman Allah :

"Dan tidak ada orang yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-Nabi dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim. Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan agama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat." (Surah Hud, ayat 18-19)

Kepada kalangan bukan Islam, jagalah lidah dan tangan kamu daripada melampau sempadan kerana Allah telah memberi peringatan kepada umat Islam :

"Demi sesungguhnya Engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrikin dan demi sesungguhnya Engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong." (Surah Al-Maidah, ayat 82)

 
Kepada  sesiapa yang bersilat kata-kata dan tulisan, kononnya hanya menentang Hudud, bukanya bermusuh terhadap Islam dan umatnya. Allah Tuhan kami yang Maha Esa menetapkan setiap perkara Islam adalah bersambung tanpa dapat dipisahkan, kerana Allah berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Surah Al-Baqarah, ayat 208)

Ketahuilah bahawa memisahkan mana-mana Hukum Islam daripada ikatan Islamnya adalah langkah-langkah syaitan.
 

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Thursday, September 1, 2016

FITNAH HUDUD PADA SAIDINA UMAR RA


Orang-orang Yahudi walaupun mereka mengetahui kebenaran agama Islam seperti yang diajar dalam kitab mereka, mereka mencari berbagai alasan untuk menidakkan Islam. Ini termasuklah soal perundangan seperti bab hudud.

Orang hari ini juga ramai yang cuba menidakkan hukum Islam dengan berbagai alasan. Antaranya menyatakan ia masih belum sesuai. Habis tu bila masa yang sesuai? Bukan orang kita baru kenal Islam hari ini. Sudah 60 tahun sudah kita menerang. Mahu tangguh 60 tahun lagi pula? 

Sejak 60 tahun dahulu lagi alasan yang sama diguna. Hakikatnya manusia yang menentang hukum tuhan akan tetap berperangai sama sejak dulu
Begitulah yang dihadapi Nabi Nuh yang berdakwah hampir 1000 tahun lamanya. Yang menolak tetap menolak.

Ada yang memakai hujah Saidina Umar tidak menjalankan hudud. Ini juga suatu fitnah terhadap Saidina Umar. Ya, memang Saidina Umar tidak potong tangan pencuri sewaktu dia memerintah. Ceritanya, sewaktu musim kemarau yang teruk, seorang pencuri ditangkap dan dibawa kepada beliau. Saidina Umar bertanya kenapa kamu mencuri, beliau menjelaskan gajinya tidak mencukupi untuk menanggung kehidupan. Setelah diselidik, memang benar beliau tidak dibayar gaji yang cukup.

Ini bermakna, dia tidak dipotong tangan kerana syarat menjatuhkan hudud tidak mencukupi, bukan kerana undang-undang tersebut tidak wujud. Sekiranya yang mencuri itu kaya, memang tangannya akan dipotong kerana itu undang-undang Islam zaman itu.

Samalah halnya sekiranya undang-undang syariah dijalankan di negara kita. Bukan semua pencuri boleh dipotong tangan. Ada syarat-syaratnya yang sangat ketat. Adapun mereka yang menyatakan Saidina Umar tidak menjalankan hudud adalah suatu fitnah yang melampau.

Islam membenarkan apa yang dilakukan oleh Saidina Umar kerana lelaki itu dalam keadaan darurat. Ketika darurat, bukan sahaja hudud, malah kita orang Islam turut dibenarkan makan babi. Bukan kerana hukum haram babi itu tiada, tetapi kerana darurat. Allah SWT menyebut:
فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلا إثم عليه
Barangsiapa dalam keadaan darurat, maka tidaklah berdosa dia (memakan babi) dengan syarat tidak melampau dan berlebihan.

Jangan pula kita katakan Islam benarkan makan babi berdalilkan ayat ini. Ini salah. Begitulah soal hudud. Undang-undang ini wajib ditegakkan. Apabila tiba kes kecurian, barulah dilihat samada pencuri terdesak ataupun tidak. Inilah keadaan sebenar zaman Saidina Umar.

Petikan kuliah ayah chik
Alang Ibn Shukrimun
Masjid Rusila
28/8/2015

KISAH ANTARA DUA PINTU GOL

Ini kisah lama dulu
Tentang dua gejala perosak
Dari kerna terkurang didik
Yang punyai hubungan mesra
Yang mencemar makna merdeka
Yakni dadah juga rasuah
Berupaya menganggu pertimbangan
dan menggugat nilai murni
Dimana dibaca dadah disitu didengar rasuah
Begitu jua sebaliknya.
Bagaimana ia jadi kisah?

Ia bermula ketika mana,
'Sepuluh yang dibawa masuk, satunya berjaya dicekop'.

Thursday, October 22, 2015

BERASAP DOSA

Angkara durjana
dari tangan-tangan yang
terlondeh sifat manusianya
Dari kerana kerja khianat ini
Matahari meskipun terpasang namun
Sudah hilang nyala seperti biasa
Kilang-kilang 'ain dan kifayah
Fungsinya lumpuh seketika. 

Asap ini sudut fisikalnya
Tidaklah mampu mentoksik lidah dan mulut yang kuat mengata.
Tidak se-asidik disangka bisa lecurkan kulit tubuh si degil abai perintah aurat dari yang Maha Esa.
Tak segatal 'water cannon' yang dijangka mentawar nafsu buas zina.
Tidak menyebar wabak kepialu yang dicemar kuman salmonela
Setidaknya dapat kaburi mata pengkhianat dan pentaksub kuasa    dari pandangan habuan dunia

Manusia hanya perlu pilih
sama ada duduk saja dirumah
atau tetap bergaya dengan pelindung muka aneka warna.
Ini bukti Tuhan tetap dikedudukan Maha Adil
Kita mohon diturunkan hujan
bukan sekadar menghalau asap pergi
tapi mengurnia rahmat ke pelusuk negeri
Kembalikan saja utusan kepada yang Maha Tahu.

Dan Maha Pengasih 
yang terus beri peluang muhasabah
beri ruang pilih kufur atau hidayah
dan beri ilham untuk mengucap kalimat 'innalillah'.

Monday, August 31, 2015

BENARKAH KITA PERLU MERDEKA?

Jumpa anda di bulan merdeka.