VOCALIST

Wednesday, May 20, 2015

MENTOLOLKAN BICARA


Sengaja aku letak tajuk kesat diatas kerana tebiat orang Malaysia yang sukakan sensasi. Yang benarnya pada bual bicara Tuan Guru Haji Hadi hari Isnin lepas, berdasarkan simpulan isi dan hujah jelas yang ruang diskusi tersebut diklasifikasikan sebagai bicara ilmiah. 

TG Haji Hadi menceritakan tentang penyatuan ummah, perselisihan dan perpecahan yang sentiasa berlaku zaman berzaman semenjak wujudnya manusia bernama Adam. Beliau juga membuktikan bagaimana penyatuan itu hanya berlaku berdasar petunjuk Al-Quran dan Hadis Nabi SAW. 

"Bila ia dibuat bersungguh-sungguh, jika benar beroleh dua pahala. Bila ia dibuat bersungguh, salah sekalipun dapat satu pahala. Dua-dua dapat pahala."

Tuan Guru menyebut bagaimana ulama silam menguruskan perselisihan sehingga Islam itu dilihat rahmat bagi semua. Dari perselisihan ini juga lahirlah pelbagai mazhab yang membuatkan risalah Islam terus berkembang hingga hari ni.

Disebut juga kewajipan PAS ditubuh dan hasrat serta dasar-dasar yang perlu diperjuangkan. Pimpinannya bersilih ganti samada meletak jawatan dan sebagainya. Juga beberapa krisis dan kemelut yang dihadapi gerakan Islam khususnya PAS.

Akhir-akhir ini kata Tok Guru, berlaku beberapa masalah akibat dari kegagalan umat Islam mengurus perselisihan hasil letusan kecanggihan media sosial.

"Umat Islam melahirkan agama mereka sendiri."

Tentang bual bicara Tuan Guru tempoh hari, ramai yang memberi respon, berstatus, mengulas dan berkomentar. Sama ada mereka sudah melihat atau mendengar keseluruhan perbincangan, itu hak masing-masing. Tapi ada dari kalangannya tidak berlaku adil kepada ilmu.

Barangkali disebabkan negara sejak dulu sering disogok siri-siri seumpama melodi, akademi fantasia dan raja lawak hasilnya pemikiran rakyat kebanyakannya seperti terlebih fokus kepada hal-hal yang berunsur gosip dan sensasi. Ini bukti tinggalan kejayaan penjajah. Termasuk kita sendiri, dengar rancangan agama pun pilih ustaz, kalau boleh yang kuat melawak. Kalau pergi dengar ceramah, bila orang tanya macamana, yang selalu dilapor ialah jumlah hadirin dan ustaz tu best atau tak. Yang tu sedap yang ni tak sedap. Semua nak cari sensasi. Bukan salah ustaz tapi salah tidak meletak ilmu ditempat yang patut.

Tuan Guru dilihat tenang menjawab. Bahkan moderator dan penyoal pulak dilihat sedikit gemuruh. Bersesuaianlah dengan jauh jarak pengalaman politiknya. Sejak muda aktif, pernah jadi Menteri Besar dan menjawat ketua pembangkang. Tekanan luar dalam bukan alasan bertindak sebaliknya. Boleh saja untuk menamakan barisan penentangnya secara khusus tapi beliau terus istiqamah dengan hujah nas dan sirah umat silam.

Ramai dikalangan rakyat Malaysia ternanti-nanti bicara Tok Guru Haji Hadi tempohari. Seperti kata moderator Dr Rosli ia memakan masa yang lama untuk satu temujanji seperti ini. Hakikatnya sedikit saja yang memungut manfaat dari petunjuk ayat suci, hadis dan sirah Nabi SAW serta kisah perjuangan ulama silam yang dibawa beliau hampir 95 persen dari perbincangan.

Hasil penelitian pada tempoh lebih satu jam diskusi hari itu, cuma tolol saja kalimah 'kesat' yang dilempar Tok Guru. Lebih malang memang wujud kalangan responden yang tertunggu-tunggu perkataan 'tolol' tersebut. Seolah-olah memohon Tok Guru tujukan perkataan itu khusus untuk dirinya.

Friday, May 8, 2015

WAJIB BERDAMAI APABILA DIMINTA

Islam mengajar penganutnya untuk berhemah dan tidak keterlaluan dalam semua cara hidup. Contohnya dalam perkara ibadat. Kita tidak boleh melakukan amalan lebih daripada apa yang Nabi SAW ajarkan.

Begitu juga dalam bab peperangan. Firman Allah SWT:

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ ۚ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ

"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman."

Ayat ini menunjukkan sikap sederhana umat Islam dalam berperang. Sekiranya mereka mahukan perdamaian. Kita wajib berdamai. Sekiranya mereka ingin menipu kita, maka perkara itu terserah kepada Allah.

Melainkan sekiranya nampak sangat mereka itu menipu, itu lain. Tapi kalau secara zahir memang mereka mahu berdamai, contohnya mereka dalam keadaan yang lemah, maka Islam menyuruh kita berdamai.

Kerana prinsip inilah Islam diterima di setiap pelusuk dunia. Di jajahan Rom, Parsi, Eropah, Bahkan di tanah melayu sendiri. Islam adalah agama yang sejahtera.

Kuliah TG Haji Hadi
Masjid Rusila
8/5/2015

ANTARA ALI, MUAWIYAH DAN KHAWARIJ

Di zaman Saidina Ali, perselisihan yang berlaku menyebabkan kekuatan Islam terpecah kepada tiga puak baharu;

1) Kumpulan yang sangat menyokong kepimpinan Saidina Ali, sehingga menolak semua hadis-hadis yang datang dari selain Saidina Ali serta tidak mengiktiraf sahabat lain.

2) Kumpulan yang sangat menyokong kepimpinan Muawiyah, sehingga menolak semua hadis dan kebenaran dari Saidina Ali.

3) Khawarij; menolak semua peranan sahabat-sahabat, menolak hadis dari sahabat dan mereka-mereka hadis baru dengan melampau.

Ulama telah mentarjihkan, bahawa kebenaran berpihak kepada Saidina Ali memandangkan beliau seorang khalifah yang sah, dan mereka yang menentangnya adalah bughah. Namun tidak seharusnya kita mencela para sahabat dan tabiin lain hanya kerana mereka salah, kerana kita masih jauh darjatnya dibandingkan dengan mereka.

Walaubagaimanapun, samada penyokong Saidina Ali seperti yang disebut diatas, Muawiyah atau Khawarij, tindakan ketiga-tiga mereka adalah lari dan tidak bertepatan dengan prinsip yang diperjuangkan Saidina Ali.

*Nota dari kuliah jumaat Ayah Chik.

Alang Ibnu Syukrimun

Thursday, May 7, 2015

12 JUMAAT YANG LALU DI PULAU MELAKA

Jurucakap bagi pihak keluarga Almarhum umumkan hadirin diberi ruang untuk menatap jenazah Tok Guru Nik Aziz buat kali akhir, 
"Kita akan buka sedikit laluan sementara menunggu solat jenazah pada jam 10 pagi nanti.." 
Sedikit harapan terbit buat rata-rata hadirin pagi tu buat memberi penghormatan yang 'terbaik' kepada tokoh kesayangan mereka.

Kami membelah naik dan menuruni gunung Titiwangsa seawal-awal pagi hari selepas beberapa jam berita hal kematian 'viral' dimedia. 

"Ada apa-apa berita pasal tok guru ka? Astro Awani tengah 'prepare' bahan buat cerita pasal tok guru ni." 

Kawan 'wassap' grup kami menyoal seawal jam 8.40 malam lagi. Masa itu kami dihimpunan mingguan disurau. Dan sekarang kami dah pun mendarat di Pulau Melaka 5 minit sebelum muazzin mesjid Pulau Melaka melaung mukadimah kalimah Allahuakbar setelah hampir 5 jam perjalanan.

Aku tidak mengganggap pemusafiran ini sebagai sia-sia bilamana seorang kakak separuh kurun maklumkan peluang hadirin lelaki untuk menatap kali akhir wajah Tok Guru dah tertutup. Apa boleh buat. Harapnya perjalanan ini diambil kira Allah sebagai nilai tanda kecintaan kita kepada Ulama'. 

"Orang laki-laki selalu dah tengok dekat Ayoh jik.."

Aku asyik memikirkan bab ni seperjalanan dari tempat kami parkir hinggalah akhirnya berpeluang bersubohan bersama jemaah lain di saf terkebelakang di Mesjid Tok Guru.

Seusai subuh ada tazkirah berselang dengan pengumuman solat jenazah. Kami 'bermesyuarat' seketika untuk plan berikutnya sebelum aku menyertai jemaah mesjid membaca surah Al-Kahfi. Ada ketika aku mencuri-curi 'berehat' didalam ruang mesjid. Aku dah separa sedar. Sekala sayup-sayup diujung telinga ayat-ayat dari Al-Kahfi. Dah terlelap aku sebenarnya.

Aku kembali bermotivasi sewaktu pimpinan bergilir-gilir buat ucapan. Ada Datok Mustafa Ali, Lim Guan Eng, Yb Azam dan paling 'touchingnya' ucapan YB setempat Ustaz Idris yang agak tersangkut-sangkut nada ucapnya. Semua orang berhampiran tumpang sama tersangkut-sangkut sedih.

"Para aktivis sekarang dibenar masuk melalui pintu utama, mengadap jenazah Tok Guru kemudian dengan seberapa pantas keluar ikut pintu kanan mesjid"

Saat ini hadirin dah mula berasak, berebut, menjerit-jerit, marah-marah, hilang sabar, panas dan tidak lagi pedulikan orang lain. Semuanya fokus kepada peluang yang diberi waris. Aku mula terkenangkan himpunan BERSIH di KL dulu yang ketakutannya ada mirip-mirip situasi ini ketika mana diserang 'canister' dan 'water canon'. Aku juga menginsafi kemungkinan situasi serupa barangkali manusia bakal berdepan keresahan di Mahsyar Allah suatu waktu nanti.

Tok Guru Haji Hadi diberi memberi penghormatan oleh waris mengimamkan jenazah yang sebelumnya sempat memberi sepatah kata juga bernada penuh hiba. Solat berlangsung aman. Hadirin memberi kerjasama penuh kepada unit amal yang bertugas dari pagi walaupun kelihatan ada sof-sof yang diluar kawal.

Mengenangkan terlajak ramainya manusia di Pulau Melaka (tuhan saja tahu), aku melupakan niat nak mengiring jenazah Tok Guru hingga kekuburan. Geng-geng semua dah hilang. Pada plan asalnya kami patut berkumpul balik untuk makan pagi yang sebenarnya dah pun dijamakkan ke makan tengahari. Keadaan trafik masih sesak. Biasanya orang akan sebut 'jem' untuk kenderaan tayar empat tapi kali ni pejalan kaki di Pulau Melaka pun rasa azabnya. Bayangkan..

Akhirnya dapat jugak kami menjamah 'breakfast' nasi kerabu di tanah Pulau Melaka ini walaupun dah tengahari. Juadah yang sama kami nikmati sewaktu siri jelajah Kelantan sedikit masa dulu. Setelah selesai acara makan berjemaah, kami beransur-ansur bergerak pulang. 

Saat jam 11.45 pagi bersamaan 8 April 2015 ini, waktu siri ziarah ini aku tulis, kami dah pun bergerak perlahan keluar dari perkarangan mesjid Pulau Melaka. Iaitu setelah 12 Jumaat kembalinya Tok Guru yang dikasihi ke sisi rahmat Allah. Aku dan ramai lagi murid diluar sana akan senantiasa merindui tokoh 'Murabbi Ummah' ini sampai bila-bila.