Peristiwa Memali menggamit semula kenangan. Tun Musa Hitam
berkata beliau tiada niat mahu mencetuskan polemik baru berkaitan
Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons beliau kepada soalan yang
diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan. Beliau
adalah antara dua ahli panel dalam majlis diskusi anjuran kerajaan
negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”.
Profesor Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan
sebagai moderator.
Format diskusi menyamai program “Hard Talk” BBC London yang meletakkan
syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih
awal tetapi bersedia menghadapi apa juga soalan yang diajukan oleh
moderator.
Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta
provocative. Di penghujung diskusi, beliau telah diajukan soalan
berkaitan peristiwa Memali yang dapat dirumuskan berpusat kepada tiga
perkara berikut:
1. Pengesahan bahawa beliau pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr
Mahathir berada di negara China dan beliau adalah pemangku perdana
menteri.
2. Beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.
3. Bagaimanakah perasaan beliau dengan peristiwa Memali.
Walau apapun yang telah dibincang dan dibangkitkan, peristiwa itu telah
pun berlalu. Pada saya, tiada gunanya lagi kita membangkitkan perkara
yang telah lepas. Namun itu tidak bermakna kita tidak dapat mengambil
beberapa pengajaran dari peristiwa tersebut. Mengungkapkan kisah yang
lepas memang tiada guna, namun menjadikan ia sebagai pedoman dan panduan
di masa hadapan amat besar kesannya terhadap masa depan generasi kita.
Memang benar, tidak ada gunanya kita menyimpan amarah dendam yang tak
sudah. Allah s.w.t memerintahkan kita agar kita menjadi insan yang
sentiasa tabah dan sabar menghadapi dugaan serta memaafkan orang yang
telah melakukan kezaliman terhadap kita.
'Post-mortem' yang sederhana ini cuba untuk mengungkapkan beberapa
kesilapan kerajaan ketika mengambil tindakan terhadap penduduk di
kampung Memali khususnya buat Asy-Syahid Ibrahim Libya dan pengikutnya.
Ini penting agar kerajaan dan penyokong UMNO khususnya tidak mengulangi
lagi peristiwa sebegini terhadap rakyat yang tidak bersalah.
Saya melihat, antara kelemahan dan kepincangan yang terjadi semasa berlakunya Tragedi Memali 1985 ialah :
- Kerajaan khususnya UMNO bertindak kerana kejahilan mereka.
- Anggota keselamatan digunakan untuk melumpuhkan musuh politik mereka.
- Akta I.S.A yang zalim dan kejam.
- Majlis Fatwa mengeluarkan hukum yang berat sebelah.
- Media yang tidak adil.
- Ruang hak asasi manusia yang rendah.
- Sistem kehakiman yang tempang.
Semua perkara-perkara diatas, sekarang ini hampir kebanyakannya sedang
diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dalam rangka usaha memulihkan semula
sistem pentadbiran negara. Kita tidak mengatakan bahawa kerajaan
sekarang tidak melakukan apa-apa pembaharuan lansung, namun pembaharuan
yang ada sangat lemah dan tidak memberansangkan. Sebahagiannya telah pun
tercapai (terhapusnya Akta ISA) namun yang lainnya masih ditakuk lama.
Itupun di atas desakan dan tekanan hebat pakatan pembangkang sekian lama
dengan sokongan NGO-NGO hak asasi manusia. Jika tidak, ISA masih
digunakan hingga kini.
Kerajaan UMNO bertindak atas kejahilan mereka terhadap perjuangan Islam dan gerakan Islam.
Salah satu kesilapan besar pasukan keselamatan kita pada waktu itu ialah
mereka bertindak dalam keadaan kekurangan maklumat atau maklumat yang
tidak tepat. Hal ini berpunca daripada Kerajaan yang memberi arahan,
iaitu UMNO.
Walau apapun alasan yang diberi kerajaan, mereka tidak dapat
menyembunyikan hakikat sebenar KEJAHILAN UMNO terhadap gelombang
kebangkitan Islam serta gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia sepanjang
zaman. Manakan tidak mereka memang tidak mesra dengan gerakan-gerakan
ini hatta mereka amat sukar untuk mengiktiraf HAMAS (Harakah Muqawwamah
Islamiyah) sebagai kerajaan yang sah di Palestin selepas mereka
memenangi pilihanraya dengan mengalahkan Parti Fatah. Dan dengan sebab
itu juga jangan terkejut apabila pemimpin kanan Hamas, Khalid Meshaal
ketika menjadi tetamu dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas
mengatakan yang mereka masih baru dalam membina hubungan dengan Parti
UMNO dibandingkan dengan PAS yang telah lama mereka kenali. Mereka akui
mereka lebih rapat dengan PAS dalam arena politik Malaysia sejak sekian
lama.
Selain itu UMNO juga tidak terkesan dengan perkembangan gelombang
kebangkitan Revolusi Islam di Iran pimpinan Ayatollah Ruhollah Khomeini
di era 80an. Berlainan dengan PAS, mereka memerhatikan perkembangan ini
dengan penuh minat. Malah tidak keberatan untuk menghantar rombongan
bagi meninjau perkembangan revolusi disana serta cuba membawa balik
model pemerintahan Ulama' untuk diterapkan di Malaysia.
Hubungan PAS dengan Ikhwanul Muslimin pula bukan sesuatu yang baru. Ia
bermula se-awal 50-an lagi apabila Dr Zulkifli Mohamad (bekas Yang
Dipertua PAS) mendapat tarbiyah lansung dari Imam Hassan Al-Banna dan
Asy-Syahid As-Sayyid Qutb (kami respek) ketika belajar di Mesir.
Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin
telah menyeret beliau untuk menyertai PAS pada awal 50-an. Kemudian ia
diteruskan oleh pemimpin-pemimpin sesudahnya yang mendapat tarbiyah
lansung dari Ikhwanul Muslimin dan bahan-bahan penulisan tokoh-tokoh
Ikhwan mewarnai sistem tarbiyah dan rujukan utama dalam PAS. Itu belum
dikira penyertaan PAS dalam solidariti gerakan Islam sedunia yang
menghubungkan PAS dengan Jami'at Islami Pakistan, Parti Masyumi dari
Indonesia, Parti Al-Ummah di Sudan, Parti Keadilan Sejahtera (PKS-
Indonesia), Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP-Turki) dan banyak lagi.
Segala hubungan yang terjalin dan perkembangan yang berlaku, ianya
bertitik tolak dari kesedaran untuk mengembalikan maruah dan harga diri
umat Islam setelah sistem Khilafah Turki tumbang pada 1914. Hasrat umat
Islam pada ketika itu sangat tinggi untuk mengembalikan Islam dalam
tampuk pemerintahan negara. (kecuali UMNO). Umat mahu melihat Al-Quran
dan Sunnah dijadikan perlembagaan dan rujukan tertinggi. Maka sebahagian
dari tokoh-tokoh penggerak Islam ini menubuhkan parti-parti politik di
negara masing-masing demi mencapai cita-cita tersebut. PAS sedari awal
penubuhannya hingga kini memerhatikan dengan penuh minat perkembangan
kebangkitan Islam dan evolusi yang berlaku sepanjang zaman. Meskipun
hasrat umat Islam pada waktu itu dianggap terlalu idealistik jika
dibandingkan dengan suasana perubahan dan pembentukan negara moden yang
dialami oleh dunia ketika itu, namun hasrat itu patut dipandang tinggi
dan dihormati.

Berlainan dengan UMNO, mereka sangat asing dan ganjil dengan
gerakan-gerakan Islam tadi. Mereka juga tidak begitu berminat dengan
gelombang kebangkitan Islam sepanjang zaman sejak kejatuhan zaman
kegemilangan Khalifah Islam Turki. Ini tidaklah menghairankan kerana
rata-rata pemimpin-pemimpin UMNO mendapat didikan dan asuhan dari barat.
Patutlah Inggeris lebih rela menyerahkan kuasa kepada UMNO dibandingkan
dengan gerakan-gerakan Islam seperti Hizbul Muslimin. Ini kerana
ciri-ciri yang ada pada mereka sangat menyenangkan hati Inggeris.
Sistem dan corak yang ditinggalkan Inggeris diteruskan oleh anak didik
mereka iaitu UMNO. Meskipun mendakwa mereka benci penjajah, namun bentuk
pemikiran dan corak perjuangan mereka memang diwarisi dari Inggeris
iaitu mereka menegakkan kebangsaan semata-mata. Oleh sebab itu tidak
hairanlah apabila mereka boleh menerima pemimpin-pemimpin yang tidak
beriltizam & patuh dengan syariat Islam kerana pada mereka asalkan
melayu yang berkuasa dan hak-hak melayu dijamin dan dipelihara!
faktor-faktor agama tidak dititik beratkan sebaliknya yang diutamakan
ialah kemampuan dari segi kewangan dan keupayaan memimpin dan memerintah
semata-mata!
Ini berlainan dengan PAS yang tidak menolak aspek keupayaan memimpin,
membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi selain hak-hak peribumi
terpelihara namun aspek penghayatan agama hendaklah terlebih dahulu
diutamakan. Ini kerana mesej yang dibawa Islam bukan untuk menyelamatkan
kehidupan dunia semata-mata sebaliknya untuk menyelamatkan kehidupan
manusia di dunia dan akhirat.
Akibat dari sikap yang terasing dari sebarang perkembangan kebangkitan
Islam dan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, ditambah dengan
pemahaman agama yang disempitkan sekadar urusan peribadi semata-mata,
menyebabkan mereka telah melakukan kesimpulan dan prasangka yang salah
terhadap gelombang kebangkitan Islam dan aktivis-aktivis gerakan Islam.
Lebih memburukkan keadaan apabila parti seperti UMNO ini mendapat kuasa
memerintah, mereka telah memberi gambaran yang salah terhadap anggota
keselamatan dan agensi-agensi keselamatan dibawah kerajaan. Mereka
termakan dengan gambaran yang diberi oleh dunia barat bahawa
gerakan-gerakan Islam adalah ekstremis dan pelampau agama. Kebetulan
pemahaman UMNO yang sempit terhadap agama seakan membenarkan lagi
kenyataan itu. UMNO merasakan bahawa laungan jihad tidak perlu sebab
orang melayu memang telah lama beragama Islam disamping kerajaan telah
menyediakan pelbagai keperluan umat Islam seperti masjid dan surau!

'Taghuut': Suatu istilah yang popular sekitar era-80 an dahulu (Ihsan gambar : Saki-baki koleksi yang masih ada dirumah penulis)
Dengan sebab itu UMNO dalam sejarahnya juga fobia dengan slogan-slogan
yang mereka sifatkan sebagai radikal seperti 'Allah matlamat kami, jihad
jalan kami" atau "mati syahid cita-cita kami" disamping istilah-istilah
sensitif seperti
Taghut dan
jahiliyyah moden. Bagi PAS atau kita selaku umat Islam, tiada apa yang
tidak kena dengan slogan-slogan tersebut. Ia kebetulan sepadan dengan
suasana di dalam UMNO itu sendiri pada ketika itu yang tidak seperti
UMNO yang kita lihat pada hari ini. Kenyataan-kenyataan yang menghina
Islam, meperlekehkan Islam serta fahaman yang memisahkan antara agama
dan pemerintahan yang sangat menebal ketika itu mendorong PAS terpaksa
memberi penegasan yang keras berhubung penjelasan terhadap batas-batas
iman dan batas-batas kufur. Dan selain itu juga prasangka mereka
berpunca dari pemahaman sempit mereka terhadap definisi Jihad dengan
menganggap bahawa semua slogan-slogan yang mendorong kearah semangat
jihad boleh mencetuskan suasana huru-hara dan mengganggu ketenteraman
dalam masyarakat.
Faktor inilah akhirnya mendorong kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir pada
waktu itu mengambil tindakan menahan ramai aktivis-aktivis gerakan Islam
terutamanya PAS dibawah Akta ISA. Ada diantaranya yang di tahan
berbulan-bulan malah ada yang sehingga bertahun-tahun. Sedangkan mereka
tidak menimbulkan apa-apa hasutan sebaliknya hanya menyeru manusia agar
kembali pada Islam yang syumul dan lengkap, serta meninggalkan berhala
Taghut dan segala bentuk jahilyyah moden!! Kegagalan UMNO membezakan
antara perjuangan Islam yang tulen dan ajaran sesat yang berleluasa di
tanah air ketika itu mendorong mereka mengambil pendekatan yang salah
keatas pejuang-pejuang Islam seperti Asy-Syahid Ibrahim Libya.
Keenganan Asy-Syahid Ibrahim Mahmud untuk ditahan dibawah ISA
menunjukkan sikap tegas beliau terhadap undang-undang yang disifatkan
zalim dan tidak adil. Beliau menentang segala bentuk penindasan yang
dikenakan keatas tokoh-tokoh pendakwah Islam dan aktivis-aktivis gerakan
Islam yang menyeru agar masyarakat kembali kepada penghayatan Islam
yang sebenar. Beliau lebih rela mati mempertahankan maruah dan harga
diri dari dirinya dihumban kedalam tahanan yang tiada hak baginya untuk
mendapatkan perbicaraan dan peluang membela diri. Akhirnya setelah
pelbagai percubaan dan rundingan diadakan bagi menahan beliau, kerajaan
telah mengambil tindakan yang kejam dengan membunuh beliau dan
pengikut-pengikutnya. Kesimpulannya, tindakan kerajaan UMNO bertitik
tolak dari KEJAHILAN mereka mengenai perjuangan gerakan-gerakan Islam,
fenomena kebangkitan Islam seluruh dunia serta kejahilan tentang
perjuangan Islam itu sendiri.
Kesimpulannya, UMNO perlu membuka jendela yang lebih luas di era moden
ini. Mereka perlu belajar mengenali gerakan-gerakan Islam (tanzim
haraki), belajar mengenali manhaj dan perjuangan mereka. Berdialog dan
berdiskusi dengan mereka, serta memahami dan berkongsi hasrat dengan
mereka. Ikhwanul Muslimin umpamanya, meskipun menerima tekanan dan
penindasan yang dahsyat dan kejam serta ramai diantara tokoh-tokohnya
dibunuh namun mereka tidak pernah mengangkat senjata atau menyeru rakyat
agar menggulingkan pemerintah sekular Mesir. Perkara ini sepatutnya
menyedarkan UMNO bahawa gerakan Islam bukan pergerakan yang ekstremis
atau pelampau yang boleh mencetuskan huru-hara dan keganasan dalam
sesebuah negara.
Meskipun hampir kebanyakan gerakan islam moden menyedari mereka kini berada di era
nation state,
namun ini tidak bererti perjuangan menegakkan khilafah terkubur begitu
sahaja. Kebanyakan gerakan Islam moderate seperti AKP di Turki pimpinan
Erdogan terpaksa memanfaatkan ruang yang terbatas dan bergerak dalam
kerangka sekular yang sedia ada. Ini tidak bermaksud mereka tidak
berhasrat menegakkan sebuah negara Islam yang sempurna pelaksanannya.
Hal ini juga telah mula dicontohi oleh PAS di Malaysia dimana mereka
memanfaatkan ruang demokrasi dan bergerak dalam struktur negara yang
berbilang kaum untuk tampil dengan pendekatan yang sederhana dalam usaha
untuk menyesuaikan perjuangan mereka dengan waqi' (persekitaran)
politik tempatan. Hanya yang jahil tentang politik Islam menuduh PAS
telah tergelincir dari landasan perjuangannya.