VOCALIST

Tuesday, January 20, 2015

SAMBUTAN SEDERHANA MAULID

Sambutan kali ni tidak segah yang lepas-lepas. Kali ni tiada 'kerahan' anak-anak sekolah KAFA, tiada apa-apa peraduan, tiada 'bener' yg extravaganza dan tiada penabalan tradisi jaguh azan. Antara faktor-faktor yang membawa kecenderungan ini kemungkinan musibah banjir dan jatuh pada menjelang musim sekolah.

"Aku nampak macam tak berapa ceria la.."

"Mungkin terkejut dengan banjir seluruh negara.."

Beberapa komen di grup fesbuk mengesahkan yang 'fiesta' kali ni dibawah status sebenar.

Program sebenarnya bermula dengan tahlil selepas maghrib. Diikuti selepas Isyak alunan marhaban dari otai-otai biasa marhaban. Sepanjang malam juga menyaksikan ahli-ahli kariah menyiang daging-daging yang disembelih pada sebelah petangnya. Tukang masak pula sempat 'mengesupkan' sebahagian tulang untuk menjamu tetamu dan ahli kariah pada malam harinya.

Keesokan paginya, kaum muslimat seperti biasa telah siap sedia menyiang segala macam bahan untu menu tengahari. Alunan zikir dan nasyid juga telah berkumandang seusai solat subuh. Nampak seperti masih ada cerianya.

Kemudian pada jam 9.30 pagi, semua penduduk dan tetamu diarah ke simpang rumah Makngah Dah untuk memulakan perarakan. Diiringi paluan hadrah semua hadirin mula bergerak. Sedikit istimewa tamparan hadrah kali ni dibarisi lejen-lejen Senduk dulu-dulu. Masih terselit kemeriahan bagaimanapun.

Di beranda surau, Qasidah dari Sidang Senduk menghiburkan semua dengan beberapa lagu. Walaupun nampak ada kekurangan namun persembahan masih diakui baik. Gandingan antara pemuda dan kanak-kanak sangat harmoni dan mantap.

Sedang-sedang molek orang kata, penceramah dari Ipoh bahagian pendidikan, Ustaz Munawir pun sampai kira-kira jam 10.30 pagi. Celoteh pekat Perak Ustaz memang buatkan semua orang pasti tercuit. 

"Kome cinta Rasul tapi kome idok ditutup auratnye.. Bukan cinte namanya, itu udoh nentang..!"

Jam 12.15 petang, selesai celoteh Ustaz. Cuaca terik hari tu tak terasa bermain dengan lawak antarabangsa Ustaz. Hadirin pun dijemput menjamah hidangan. Ada menu daging kurma, daging kicap, dan dah tentu air asam istimewa pasti ada.

"Dengan adanya penyampaian ilmu, sebenarnya dah cukup baik.."

Kata seorang lagi komentator fesbuk di grup. Selesai jamuan makan, semua berjemaah bersama-sama disurau menandakan tamat program. 

"Bagus-bagus.." Kata seorang pengunjung luar yang '1st timer' hadir ke sambutan. Walaupun tidaklah sehebat yang lepas-lepas tapi program mula dan berakhir dengan sempurna. Terimakasih buat semua dan tahniah.

No comments:

Post a Comment