VOCALIST

Tuesday, March 24, 2015

AKIDAH HUDUD

Seringkali apabila Kerajaan Kelantan cuba menguatkuasakan undang-undang Hudud maka alasan yang seringkali digunakan oleh pihak yang menolak usaha murni ini ialah mereka sebenarnya menolak 'Hudud PAS' atau hudud yang di olah dengan 'tafsiran manusia.' Kononnya mereka tidak menolak hukum Allah yang termaktub dalam Al-Quran atau teks asal hukum tersebut. Kelompok ini berkeyakinan hukum yang ditafsirkan oleh manusia itu boleh diterima atau ditolak namun Al-Quran sebagai sebuah kalam suci, kebenarannya tidak mungkin dipertikaikan sampai bila-bila.

Sekali diimbas kenyataan ini tidak ada salahnya dari segi kaedah atau prinsip, kerana sememangnya ijtihad atau tafsiran manusia keatas sesuatu teks asal dalam Al-Quran dan hadith terdedah kepada pelbagai ruang perbincangan ilmiah bergantung kepada dalil-dalil dan keterangan dari sumber yang lain yang sahih. Ulama-ulama silam telah mengakui hakikat ini dan mengiktiraf kewujudan pelbagai pendapat dalam sesuatu hukum.


Polemik

Namun jika diperhati secara halus slogan ini tidak ubah sepertimana puak khawarij yang menggunakan slogan 'barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia kafir', Cuma bezanya mereka menggunakan slogan ini dalam bentuk kebalikan dari slogan yang digunakan oleh puak Khawarij. Saidina Ali pernah berkata tentang slogan puak Khawarij sebagai, "ungkapan yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah".

Begitu jugalah dengan slogan 'kami tidak menolak hukum Allah, namun kami menolak Hudud PAS'. Ia mempunyai maksud yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah.
Lebih jauh dari itu kenyataan ini ialah suatu kenyataan jahat yang seakan menyandarkan kepalsuan pula kepada ijtihad-ijtihad ulama PAS dan penggubal perundangan Syar'ie dengan mengatakan ijtihad mereka hanya 'tafsiran manusia'. Penggunaan istilah 'tafsiran manusia' sudah pasti mengundang kekeliruan kepada orang awam yang jahil selok belok agama dan menyangka ia boleh ditolak mentah-mentah sebegitu sahaja.

Berdolak-dalik

Pada saya ini adalah senjata terakhir bagi mana-mana pihak yang tidak mahu melihat hukum Allah terlaksana di atas muka bumi dengan cara yang paling berdiplomasi dan berhikmah. Dahulu UMNO adalah juara dalam berdalih dengan menggunakan alasan di atas, namun kini ia juga digunakan oleh orang Islam yang berfahaman liberal yang kini tidak berani menyuarakan penentangan mereka secara terbuka terhadap hukum Allah itu.

Saya ingin bertanya kepada pihak yang sering menggunakan alasan di atas, jika anda merasakan bahawa Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia', bagaimana pula dengan pegangan feqah yang kini digunapakai oleh umat Islam di Malaysia sehari-hari, termasuk diri anda sendiri? Adakah ia diambil terus dari Al-Quran dan hadith secara 'direct' dan bulat-bulat? Setahu saya, dari hal solat, puasa, zakat dan urusan haji semuanya di olah dari 'TAFSIRAN MANUSIA' (baca: tafsiran Ulama') oleh Imam Empat Mazhab yang terkemuka dalam Islam. Siapa diantara kita yang tidak bergantung kepada 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') ini dalam soal urusan agama?

Serah kepada yang 'ahli'.

Jika kita menolak 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') dalam soal urusan agama ini, adakah kita sudah cukup ALIM dan berkelayakan untuk mengolah dan mengistinbat sesuatu hukum mahupun berijtihad dengan displin-disiplin berpandukan kaedah-kaedahnya tersendiri...tidak bukan?? Berapa ratus ribu hadith berserta sanadnya yg kita hafal? sudahkah kita menghafaz Al-Quran dengan memahami uslub, menguasai Tafsir dan isi kandungannya? Bagaimana pula dengan kitab-kitab muktabar karangan Ulama'-ulama terbilang sepanjang zaman yang terdahulu? Sudahkah kita menguasainya?

Pada saya , jika lidah kita lebih ringan menyebut perkataan Inggeris dari perkataan Arab jangan mimpilah nak mentafsir dan menjelaskan isi Al-Quran dan hadith.

Sedangkan Kitab 'Fiqh Sunnah' karangan Syed Sabiq yang cuba keluar dari tafsiran mazhab dengan melihat masalah Fiqh dari sudut kontemporari pun adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). Saya tidak tahu bagaimana lagikah yang dimaksudkan oleh pengguna slogan tadi dengan definisi 'tafsiran manusia'.

Jika anda merasakan Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia' silalah anda bersolat atau berpuasa dengan cara yang tersendiri tanpa perlu merujuk kepada Ulama'-ulama yang telah berjasa dalam bidang ilmu Islam kerana ia adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') semata-mata.

Barangkali pendukung fahaman Islam liberal percaya Islam boleh ditafsirkan mengikut pemahaman dan selera pemikiran manusia itu sendiri. Jika itu yang mereka percaya saya juga boleh menggunakan hujah yang sama iaitu, "itu adalah tafsiran anda (tafsiran manusia) sedangkan kalam Allah adalah suci sama sekali dari apa yang anda perkatakan, bagaimana anda boleh begitu yakin dengan tafsiran anda sendiri (baca; tafsiran manusia) terhadap agama sedangkan tafsiran anda hanya lahir dari pemikiran anda yang dangkal (baca: tafsiran manusia)".


Kelayakan mentafsir

Suatu hakikat yang pasti ialah sejak kewafatan Rasulullah s.a.w, tiada lagi pihak yang dapat mentafsir, menghadam dan memahami isi kandungan Al-Quran dan hadith melainkan manusia (baca: Ulama'). Ini kerana risalah Islam bukan diturunkan kepada binatang, atau pohon kayu mahupun gunung ganang. Tugas menyebar dan memahamkan manusia kepada risalah Islam ini terbeban kepada bahu manusia (baca: Ulama'). Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Ulama' adalah pewaris para Nabi" (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu ‘anhu).

Jika agama tidak dibenarkan untuk di'tafsir' oleh manusia kerana bimbang 'kesucian' ajarannya tercemar, siapa lagi yang kita boleh serahkan kepercayaan untuk mentafsir dan memahami urusan agama ini? adakah kita serahkan kepada haiwan atau patung yang tidak boleh berkata-kata?

Hakikatnya kita perlu akur bahawa mahu tidak mahu mesti ada 'manusia' (baca: Ulama') yang bertindak sebagai pengantara, penjelas dan pentafsir dalam urusan agama ini. Cuma persoalan yang mungkin timbul ialah sejauhmana tafsiran Ulama' itu tadi menepati kehendak sebenar Al-Quran dan hadith.

Jika kebimbangan itulah yang menjadi faktor utama maka mengapa tidak anda sendiri mengemukakan tafsiran yang lebih tepat, jika anda merasakan tafsiran pihak lain adalah salah dan tidak menepati kehendak Kalam Allah yang suci?

Sesuatu yang menarik ialah golongan yang menggunakan alasan ini tidak pula mengemukakan sesuatu yang lebih 'asli dan suci' dari apa yang mereka sifatkan sebagai 'tercemar' kerana ia hanya 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). UMNO yang lantang menggunakan senjata itu sejak dahulu lagi namun hingga ke hari ini mereka hanya sekadar menjadi 'Pak angguk' dalam Sidang DUN Kelantan ketika pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah 1993 dibentangkan. Begitu juga pihak-pihak lain yang kini sudah pandai meniru cara UMNO berdolak-dalih dalam isu ini.

Hakikatnya hingga ke hari ini pihak yang mengajukan kebimbangan tadi tidak melakukan apa-apa tindakan pun apatah lagi menzahirkan sebarang hasrat ke arah itu.

Apabila mereka sedar mereka ketandusan hujah dan dalil, mereka beralih kepada fiqh awlawiyat sebagai benteng terakhir. Kononnya suasana belum kondusif dan ia bukan keutamaan mereka buat masa ini. Permainan ini nampaknya menyelamatkan mereka.

Timbul persoalan, benarkah mereka menolak apa yang di sebut sebagai 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') atau sebenarnya ada udang di sebalik mee??

(Pena Sidang)

Sunday, February 1, 2015

PEMERINTAH GENG SONGKOK TINGGI

Yang menguasai negara kini
kalimah mereka semuanya bertatah indah
Menyirna di hari pagi hingga kembali ke kamar mimpi
Macam tiada gundah
Macam semuanya mudah dan
macam tiada diulit masalah.

Sungguh sombong lagak berpakaian
Seolah mereka yang mendatangkan desir angin
menakung air di gunung dan
menurunkan titis hujan

Sedangkan hakikatnya 
Mereka tumpang kemasyhuran Tuhan
demi mengumpan kuasa
mereka ejen pendusta
yang sangat jauh dari nasihat agama.

Friday, January 30, 2015

PEMBANGUNAN BANDAR BERMASYARAKAT MADANI

1. Keperluan hidup bermasyakat mewajibkan wujud pertemuan berbagai kelompok manusia dari berbagai latarbelakang untuk mengumpulkan keperluan asasi bagi kehidupan diri, keluarga dan masyarakat umum. Keperluan asasinya adalah seperti bahan bagi makanan, pakaian, penginapan, perhubungan dan lain-lain sehingga segala kemudahan hidup untuk penambahbaikan, nilai dan kemewahan. Maka wujudnya bandar dan segala pengurusanya, menjadi rukun dan syarat hidup bermasyarakat di peringkat negara dan antarabangsa.

2. Ibnu Khaldun (1332M – 1406M), yang bergelar bapa ilmu “sosiologi – historiogafi – ekonomi” tersohor di seluruh dunia menegaskan lagi : “Bahawa bandar yang dibangun dan dihidupkan juga oleh masyarakat luar bandar dikelilingnya, dan semua pihak yang membekalkan bandar itu menjadi hidup dan maju”. Hakikatnya bukan sahaja peniaga besar, bahkan termasuk peniaga kecil yang datang dari kampung dan pendalaman, sehinggalah petani, nelayan dan pengangkut hasil yang membawanya ke bandar, antara bandar dan sekitarnya, sehingga diedarkan, kerana hasil yang berbeza antara desa dan bandar; dan semuanya menjadi keperluan bersama.

3. Pembangunan bandar bukan sahaja dilihat dari segi kemudahan asas lahiriyah seperti lebuh raya, jalan raya, bangunan, kenderaan yang mencukupi untuk manusia dan barangan, dengan sistem lalu lintas yang lancar dan teratur. Bukan sahaja bangunan industri yang memperoses segala hasil dengan segera, kualiti yang baik, nilai tambah yang menguntungkan. Pasar borong, pasar raya, dan gedung-gedung yang teratur oleh mereka yang merancang bagi pembangunan bandar dan hubungannnya dengan desa; semuanya adalah keperluan perbandaran.

4. Satu hakikat yang kita selalu lupa, atau dilupaka oleh pemodenan yang bersimpang siur bahawa hubungan jasad dan roh kalangan manusia disemua peringkat yang berkaitan bagi mewujudkan keharmonian juga sangat penting, khususnya dalam himpunan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Pembangunan insan melalui pendidikan, media, pengurusan dan pentadbiran yang dikawal oleh undang-undang sahaja tidak mencukupi. Ini adalah kerana menjalinkan hubungan sesama manusia tidak sama dengan menyusun kayu dan batu-bata mendirikan bangunan, disebabkan manusia itu ada perasaan yang boleh tersentuh dengan mudah dan menolak paksaan.

5. Dalam aspek ekonomi pendekatan liberal kapitalisma didapati menzalimi orang miskin sehingga menimbulkan pertembungan kelas taraf kehidupan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam hidup bermasyarakat. Pendekatan sosialis pula boleh menzalimi orang kaya yang menyumbang kemajuan ekonomi negara. Pendekatan komunis yang lebih radikal sehingga menolak agama menjadi lebih parah. Semuanya tidak dapat memenuhi fitrah manusia atau nalurinya. Manusia punya jasad, roh dan akal, tidak dapat hidup secara individualistik dan mestilah bermasyakat, mewajibkan keseimbangan yang saksama dalam semua aspek. Dunia telah menyaksikan kegagalan semua pendekatan itu. Bandar yang menjadi pusat bergeraknya kegiatan ekonomi, politik dan sosial menerima padah awal daripada segala kesannya yang positif dan negatif.

Rasulullah S.A.W. menegaskan dengan sabdanya:

رحم الله رجلا سمحا إذا باع وإذا اشترى وإذااقتضى (البخاري

(Allah memberi rahmat kepada seseorang yang bersikap pemaaf apabila dia menjual, membeli dan mengendalikan urusan).

Peringatan ini menunjukkan bahawa kita semua wajib bertimbang rasa oleh semua pihak, peniaga, pengguna, dan pentadbir.

6. Dalam aspek politik mengendalikan bandar, maka oleh itu wajib kita mengambil kira semua pihak dan lapisan yang memakmurkan bandar itu. Maka pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek. Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar. Lihat sahajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di majlis daerah di kawasan desa di Selangor yang pula bermajoritikan satu kaum yang lain.

7. Kita tidak seharusnya melihat kemenangan politik dan penguasaan ekonomi untuk satu pihak dalam masyarakat majmuk. Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi “api dalam sekam” untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara.

8. Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan arah, temasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pedalaman dan kaum yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar. Wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaafan dalam perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap semua.

9. Bandar wajib diurus bukan sahaja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya, yang menjadi laksana darah yang mengalir ke dalam jasadnya. Kalau perjalanannya tidak betul, lebih-lebih lagi kalau tersumbat menyebabkan akibat yang sangat malang.

Monday, January 26, 2015

TENTANG BALA

Mereka yang jadi mangsa
Tertimbus tertimbun
Hilang dan tenggelam
Tandus tanah disudut gersang
Mencari kekuatan merenung redho
Memohon ehsan dan rezeki Tuhan.

Mereka yang perihatin
Tiada putus ulang alek 
Menghulur tangan
Meredah hutan membelah banjaran
Dengan sukarelawan, dermawan dan budiman
Dengan pacuan bertan-tan
Moga dipanjang hajat teman perjuangan

Mereka yang masih lagho
Grup-grup pendosa menjemput bala
Jaguh-jaguh ketawa dan
juara-juara penghibur lara
Berasa diempok kerusi kuasa
Umpama Tuhan empunya nyawa
Senyum berhalimun keliling dunia.

Wednesday, January 21, 2015

MANEK URAI.. MU TUNGGU KAMI MARI..!

Misi yang diusahakan kami boleh dikira lewat. Tapi masih belum terlambat. Ketika sudah ramai aktivis dan amilin berulang-alik ke lokasi-lokasi banjir, kami masih dengan macam-macam hal dikampung. Memang tak dinafikan beberapa tabung sumbangan kami telah pun dipanjangkan kepada mangsa Insyaallah tapi 'feelnya' lain berbanding bersaksi sendiri apa sebenarnya yang berlaku kepada saudara-saudara seislam disana.

Bak pesan Nabi SAW yang disebut Ustaz Sofi Farid pada kuliah tafsir "Bukan dari kalanganku orang yang bangun paginya tidak memerhati urusan saudaranya yang lain.."

Kami pun mengatur gerak melalui wassap grup, fesbok dan segala macam media termasuk pengumuman melalui corong speaker surau dan papan tanda.

Mesyuarat yang pertama putuskan 5 buah 'transport' di tawar oleh beberapa orang bagi tujuan kesana. Sekretariat juga hanya menerima wang tunai tikar, selimut dan toto sahaja untuk dipanjangkan kepada mangsa. Kami tidak akan menyewa sebarang kenderaan 'mega'. Memadai semua sumbangan diisi dalam kenderaan bersaiz MPV dan sedan sahaja. Dan kami akan bertolak seawal jam 4 pagi. Yeahh..!! Semoga semuanya dipermudah hendaknya. Pembelian barang akan dibuat pada petang Sabtu 17.1.15, dikumpul disurau untuk pengagihan sebelum semua aktivis balik tido dirumah masing-masing.

15 minit selepas waktu dijanji, kira-kira jam 4.30 pagi 18.1.15 kami bergerak dengan 5 buah kenderaan seperti dijanji. Kami kemudian singgah chek point di Petronas Simpang Pulai sebelum mula mendaki hingga ke masjid Lojing. Selepas berjemaah subuh kami menurun banjaran Titiwangsa hingga tiba di Gua Musang lebih kurang jam 9.30 pagi. 

Untuk makluman, kami pernah ada pengalaman 'trip' ke Gua Musang saat membantu jentera PRK di Galas dulu. Di Bandar ni, kami singgah makan diwarung betul-betul berdepan stesen KTM Gua Musang yang dah terputus operasinya akibat musibah banjir.

"Baru berasa nasi kerabu ni.. Sedap elok.." Kata Ustaz Ibrahim, Imam nombor 2 mesjid Al-Wusta. Kami beruntung bersama-sama kami ada 4 pegawai mesjid termasuk 2 orang imam (Ustaz Faqeh sorang lagi) dan 2 orang tok bilal (Ayahanda Paknjang dan Ustaz Mat Salleh). Kalau pegawai surau tu tak payah cakap, semuanya pegawai.. Keh keh keh..

Selepas menyantap, kami teruskan gerakan kami ke Manek Urai.

"Toksu tunggu di depan Klinik Manek Urai.." Jawab bakal jurupandu kami di sms nya. Perjalanan akan lebih mudah dan efektif nanti bila ada orang yang arif jalan dan lorong di Manek Urai. Jurupandu itu ialah En Aziz, anak jati Kuala Krai juga ada pertalian saudara dengan Ayahanda Paknjang. Syukur, Alhamdulillah!. Sekali lagi kami dipermudah.

Setibanya di Manek Urai Baru, kami dipelawa ke rumah mangsa juga kakak kandung Encik Aziz.  Kami maklumkan kepada tuan rumah yang kami nak terus menyantuni mangsa. Kami kemudian dibawa terus ke Kampung Manek Urai Lama, kira-kira 2 kilometer dari Manek Urai Baru. Di Jambatan sungai Manek Urai lagi kami telah disapa oleh seorang makcik yang dah berumur dan bantuan pertama dineri pada beliau.

Di Manek Urai Lama yang dah diibarat 'total loss' itu, kami sempat menyusuri dua hingga tiga lorong sebelum semua barang bantuan habis diagih. Hampir kesemua rumah penduduk disitu tinggal tapak asal sahaja. Penduduk hanya berlindung sekeluarga beramai-ramai dibawah satu khemah yang dibekal oleh NGO dari luar. Hanya satu khemah berukuran 5x5 inci untuk satu keluarga, sungguh menyayat hati. Ramai mangsa yang ditemui terharu dengan sumbangan yang diberi. Dan mereka dilihat redho dengan ketentuan dan musibah yang diturun Allah. Kalaulah semuanya faham begitu, betapa bagus tarbiyah mereka.

"Kita bukan nak ghoyak politik sini.. Gapo sibuk sangat nak buat tembok sekat banjir?" Berkali-kali salah seorang mangsa mengadu bila disoal perihal bantuan dari pusat. Insyaallah kami juga faham.

Selepas tinggalkan baki bantuan di PASTI Manek Urai Baru, kemudian kami dibawa ronda-ronda ke bandar Kuala Krai. Dibandar, melihat kepada kesan-kesan yang tinggal, air naik hingga ke tingkat satu jika merujuk kepada rumah-rumah kedai. Di Kuala Krai juga kami berenti Solat dan rawat di pondok Sungai Durian milik Dr Abdul Basit pemilik pondok dan pengarang kitab Keindahan Islam yang menjadi rujukan salah satu slot kuliah disurau. Selesai Ustaz Faqeh memberikan sedikit peringatan musibah banjir untuk dimuhasabah aktivis misi. Pondok Dr Abd Basit juga alami kerosakan teruk.

Seterusnya kami dipelawa singgah di rumah Encik Aziz di jalan Kuala Nal. Encik Aziz dan isteri menjamu kami goreng pisang colek. Di rumah Encik Aziz semua sepakat untuk singgah 'shopping' buah tangan di Bukit Bunga. Sekali lagi kami bersyukur bila Encik Aziz sudi menunjuk jalan balik hingga ke simpang Macang.

"Kita beli la sikit, bagi depa pasal jaga anak-anak dan rumah.." Hujah Ustaz Shahrul.

Di Bukit Bunga kami singgah membasah badan di masjid berhampiran sebelum bergerak ke kawasan membeli belah. Selepas makan juga dikawasan itu, kami bergerak untuk jamak qasar di Masjid Bukit Bunga.

Senduk.. Mu tunggu kami balik..! Kami seterusnya seusai berjemaah, berjanji untuk 'pit stop' di Gerik, terus memecut kenderaan masing-masing seolah-olah bendera perlumbaan sebenar dikibar sehinggalah tiba garis penamatnya surau Senduk.

Tahniah, syukur dan syabas. Semuanya bergerak lancar.





Tuesday, January 20, 2015

SAMBUTAN SEDERHANA MAULID

Sambutan kali ni tidak segah yang lepas-lepas. Kali ni tiada 'kerahan' anak-anak sekolah KAFA, tiada apa-apa peraduan, tiada 'bener' yg extravaganza dan tiada penabalan tradisi jaguh azan. Antara faktor-faktor yang membawa kecenderungan ini kemungkinan musibah banjir dan jatuh pada menjelang musim sekolah.

"Aku nampak macam tak berapa ceria la.."

"Mungkin terkejut dengan banjir seluruh negara.."

Beberapa komen di grup fesbuk mengesahkan yang 'fiesta' kali ni dibawah status sebenar.

Program sebenarnya bermula dengan tahlil selepas maghrib. Diikuti selepas Isyak alunan marhaban dari otai-otai biasa marhaban. Sepanjang malam juga menyaksikan ahli-ahli kariah menyiang daging-daging yang disembelih pada sebelah petangnya. Tukang masak pula sempat 'mengesupkan' sebahagian tulang untuk menjamu tetamu dan ahli kariah pada malam harinya.

Keesokan paginya, kaum muslimat seperti biasa telah siap sedia menyiang segala macam bahan untu menu tengahari. Alunan zikir dan nasyid juga telah berkumandang seusai solat subuh. Nampak seperti masih ada cerianya.

Kemudian pada jam 9.30 pagi, semua penduduk dan tetamu diarah ke simpang rumah Makngah Dah untuk memulakan perarakan. Diiringi paluan hadrah semua hadirin mula bergerak. Sedikit istimewa tamparan hadrah kali ni dibarisi lejen-lejen Senduk dulu-dulu. Masih terselit kemeriahan bagaimanapun.

Di beranda surau, Qasidah dari Sidang Senduk menghiburkan semua dengan beberapa lagu. Walaupun nampak ada kekurangan namun persembahan masih diakui baik. Gandingan antara pemuda dan kanak-kanak sangat harmoni dan mantap.

Sedang-sedang molek orang kata, penceramah dari Ipoh bahagian pendidikan, Ustaz Munawir pun sampai kira-kira jam 10.30 pagi. Celoteh pekat Perak Ustaz memang buatkan semua orang pasti tercuit. 

"Kome cinta Rasul tapi kome idok ditutup auratnye.. Bukan cinte namanya, itu udoh nentang..!"

Jam 12.15 petang, selesai celoteh Ustaz. Cuaca terik hari tu tak terasa bermain dengan lawak antarabangsa Ustaz. Hadirin pun dijemput menjamah hidangan. Ada menu daging kurma, daging kicap, dan dah tentu air asam istimewa pasti ada.

"Dengan adanya penyampaian ilmu, sebenarnya dah cukup baik.."

Kata seorang lagi komentator fesbuk di grup. Selesai jamuan makan, semua berjemaah bersama-sama disurau menandakan tamat program. 

"Bagus-bagus.." Kata seorang pengunjung luar yang '1st timer' hadir ke sambutan. Walaupun tidaklah sehebat yang lepas-lepas tapi program mula dan berakhir dengan sempurna. Terimakasih buat semua dan tahniah.

Tuesday, November 18, 2014

29 TAHUN TRAGEDI BERDARAH MEMALI: MENYELAK JENDELA PILU

Baling sebuah daerah yang sarat dengan peristiwa besar negara dan melakar sejarah. Di saat tanah leluhur ini diselimuti perlawanan dengan gerila Bintang Tiga, maka Baling dipilih untuk dijadikan medan perbincangan solusi antara PKM dan pihak Kerajaan pada tahun 1955. Pada tahun 1974 pula, ekoran daripada harga getah yang merudum, maka Baling menyaksikan kebangkitan rakyat tani yang digalang oleh gerakan mahasiswa Malaysia sehingga menyebabkan ribuan anak-anak kampus ditahan oleh pihak berkuasa dalam lanjutan bantahan di kuala Lumpur.
Akta Universiti Dan Kolej telah dipinda dan diketatkan pasca bantahan gerakan mahasiswa paling besar dalam sejarah negara ini. Kejerihan rakyat Baling telah memacu kebangkitan anak muda prihatin negara ini yang menjadi kuasa semak dan imbang yang berkesan.
Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini. Dekad 1980an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.
Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang . Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.
Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat dikalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling.
Pada tahun 1984 , berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda pas dibawah ISA , antaranya ustaz Abu bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.
Dalam perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .
Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat , manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.
Peristiwa Memali tetap utuh bersemayam ditangkai hati kita yang cintakan kebenaran. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan diantara hak dan batil, juga keteladanan dijalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila'. Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. " Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah" frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan. Semoga kita semua tidak melupakan Tragedi berdarah Memali 29 tahun lalu walaupun dalam gema ratib " Putrajaya" kita, mereka menyiram baja perjuangan!

OLEH: DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)