Jurucakap bagi pihak keluarga Almarhum umumkan hadirin diberi ruang untuk menatap jenazah Tok Guru Nik Aziz buat kali akhir,
"Kita akan buka sedikit laluan sementara menunggu solat jenazah pada jam 10 pagi nanti.."
Sedikit harapan terbit buat rata-rata hadirin pagi tu buat memberi penghormatan yang 'terbaik' kepada tokoh kesayangan mereka.
Kami membelah naik dan menuruni gunung Titiwangsa seawal-awal pagi hari selepas beberapa jam berita hal kematian 'viral' dimedia.
"Ada apa-apa berita pasal tok guru ka? Astro Awani tengah 'prepare' bahan buat cerita pasal tok guru ni."
Kawan 'wassap' grup kami menyoal seawal jam 8.40 malam lagi. Masa itu kami dihimpunan mingguan disurau. Dan sekarang kami dah pun mendarat di Pulau Melaka 5 minit sebelum muazzin mesjid Pulau Melaka melaung mukadimah kalimah Allahuakbar setelah hampir 5 jam perjalanan.
Aku tidak mengganggap pemusafiran ini sebagai sia-sia bilamana seorang kakak separuh kurun maklumkan peluang hadirin lelaki untuk menatap kali akhir wajah Tok Guru dah tertutup. Apa boleh buat. Harapnya perjalanan ini diambil kira Allah sebagai nilai tanda kecintaan kita kepada Ulama'.
"Orang laki-laki selalu dah tengok dekat Ayoh jik.."
Aku asyik memikirkan bab ni seperjalanan dari tempat kami parkir hinggalah akhirnya berpeluang bersubohan bersama jemaah lain di saf terkebelakang di Mesjid Tok Guru.
Seusai subuh ada tazkirah berselang dengan pengumuman solat jenazah. Kami 'bermesyuarat' seketika untuk plan berikutnya sebelum aku menyertai jemaah mesjid membaca surah Al-Kahfi. Ada ketika aku mencuri-curi 'berehat' didalam ruang mesjid. Aku dah separa sedar. Sekala sayup-sayup diujung telinga ayat-ayat dari Al-Kahfi. Dah terlelap aku sebenarnya.
Aku kembali bermotivasi sewaktu pimpinan bergilir-gilir buat ucapan. Ada Datok Mustafa Ali, Lim Guan Eng, Yb Azam dan paling 'touchingnya' ucapan YB setempat Ustaz Idris yang agak tersangkut-sangkut nada ucapnya. Semua orang berhampiran tumpang sama tersangkut-sangkut sedih.
"Para aktivis sekarang dibenar masuk melalui pintu utama, mengadap jenazah Tok Guru kemudian dengan seberapa pantas keluar ikut pintu kanan mesjid"
Saat ini hadirin dah mula berasak, berebut, menjerit-jerit, marah-marah, hilang sabar, panas dan tidak lagi pedulikan orang lain. Semuanya fokus kepada peluang yang diberi waris. Aku mula terkenangkan himpunan BERSIH di KL dulu yang ketakutannya ada mirip-mirip situasi ini ketika mana diserang 'canister' dan 'water canon'. Aku juga menginsafi kemungkinan situasi serupa barangkali manusia bakal berdepan keresahan di Mahsyar Allah suatu waktu nanti.
Tok Guru Haji Hadi diberi memberi penghormatan oleh waris mengimamkan jenazah yang sebelumnya sempat memberi sepatah kata juga bernada penuh hiba. Solat berlangsung aman. Hadirin memberi kerjasama penuh kepada unit amal yang bertugas dari pagi walaupun kelihatan ada sof-sof yang diluar kawal.
Mengenangkan terlajak ramainya manusia di Pulau Melaka (tuhan saja tahu), aku melupakan niat nak mengiring jenazah Tok Guru hingga kekuburan. Geng-geng semua dah hilang. Pada plan asalnya kami patut berkumpul balik untuk makan pagi yang sebenarnya dah pun dijamakkan ke makan tengahari. Keadaan trafik masih sesak. Biasanya orang akan sebut 'jem' untuk kenderaan tayar empat tapi kali ni pejalan kaki di Pulau Melaka pun rasa azabnya. Bayangkan..
Akhirnya dapat jugak kami menjamah 'breakfast' nasi kerabu di tanah Pulau Melaka ini walaupun dah tengahari. Juadah yang sama kami nikmati sewaktu siri jelajah Kelantan sedikit masa dulu. Setelah selesai acara makan berjemaah, kami beransur-ansur bergerak pulang.
Saat jam 11.45 pagi bersamaan 8 April 2015 ini, waktu siri ziarah ini aku tulis, kami dah pun bergerak perlahan keluar dari perkarangan mesjid Pulau Melaka. Iaitu setelah 12 Jumaat kembalinya Tok Guru yang dikasihi ke sisi rahmat Allah. Aku dan ramai lagi murid diluar sana akan senantiasa merindui tokoh 'Murabbi Ummah' ini sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment