VOCALIST

Wednesday, April 29, 2015

MAHMUDAH VS MAZMUMAH

Ilmu tasauf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin di dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat yang mulia dan menghindari atau menjauhkan diri daripada sifat-sifat mazmumah iaitu yang keji dan tercela.

Ilmu tasauf bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada di dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah. 

Sesungguhnya martabat nafsu mutmainnah adalah martabat nafsu yang pertama benar-benar diredhai Allah SWT yang layak untuk memasuki syurga Allah SWT. Hakikat ini telah ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya: “Wahai orang yang bernafsu mutmainnah, pulanglah ke pangkuan Tuhanmu dalam keadaan redha meredhai oleh Nya dan masuklah ke dalam golongan hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu” (Al-Fajr: 27- 30). 

Antara syarat-syarat untuk mencapai taraf nafsu mutmainnah ialah banyak bersabar serta banyak melalui penderitaan.

Kembali kepada sifat Mahmudah dan Mahmudah. Imam Ghazali telah memudahkan kita di mana beliau telah menggariskan sepuluh sifat-sifat ini di dalam kitab 'Arbain Fi Usuluddin' 


         10 Sifat Mahmudah

Taubat
Khauf (Takut)
Zuhud
Sabar
Syukur
Ikhlas
Tawakkal
Mahabbah (Kasih Sayang)
Redha
Zikrul Maut (Mengingati Mati)



         10 Sifat Mazmumah

Banyak Makan
Banyak Bercakap
Marah
Hasad
Bakhil
Cintakan Kemegahan
Cintakan Dunia
Bangga Diri
Ujub (Hairan Diri).
Riya' (Menunjuk-nunjuk).

Walaupun kita memiliki 1001 alasan untuk melanggar batas sifat mahmudah dan mazmumah namun kebaikan dan kecelaan itu tetap kekal pada sifatnya. Dan ia tidak sekali-sekali berubah kepada sebaliknya.

Tuesday, April 14, 2015

SUDAHNYA BILA

Bila dikata tak setuju

dikatanya otak tak jalan


Bila dibawakan bahan

dikatanya nak lawan.


Bila dicabar peraturan

dihalaunya masuk hutan.


Bila pakat melaung dijalan

Sudahnya kedalam dihumban.


Monday, April 13, 2015

SOALNYA HATI

Bani Israel terkenal dengan hati mereka yg sangat keras malah kata Allah lebih keras dari batu. Sekalipun batu itu keras tapi bila dipukul oleh tongkat melalui mukjizat Nabi Musa, batu tersebut 'mengalah' juga dan mengalir mata air dari celahannya. Sangat kerasnya hati Bani Israel, walaupun Allah SWT tunjukkan berbagai kekuasaan melalui mukjizat Nabi Musa as namun hati mereka tetap menolak untuk beriman.

Hati yang keras sebenarnya boleh dilembut sebagaimana disebut Ibnu Hajar Asqalani, bahawa seketul batu itu bila jatuh air padanya lama-kelamaan akan melekuk biarpun memakan masa puluhan tahun.

Hati yang keras banyak berpunca dari perkataan sia-sia, tak bermanfaat yang keluar melalui lidah. Banyaklah mengingati Allah maka hati akan lembut dan tenang.

Bersabarlah membentuk hati walaupun ia keras. Pesan Ulama, berhati2 lah jangan sehingga hati itu mati kerana hati yang mati boleh menutup seseorang dari hidayah dan kebenaran.

Tuesday, March 24, 2015

AKIDAH HUDUD

Seringkali apabila Kerajaan Kelantan cuba menguatkuasakan undang-undang Hudud maka alasan yang seringkali digunakan oleh pihak yang menolak usaha murni ini ialah mereka sebenarnya menolak 'Hudud PAS' atau hudud yang di olah dengan 'tafsiran manusia.' Kononnya mereka tidak menolak hukum Allah yang termaktub dalam Al-Quran atau teks asal hukum tersebut. Kelompok ini berkeyakinan hukum yang ditafsirkan oleh manusia itu boleh diterima atau ditolak namun Al-Quran sebagai sebuah kalam suci, kebenarannya tidak mungkin dipertikaikan sampai bila-bila.

Sekali diimbas kenyataan ini tidak ada salahnya dari segi kaedah atau prinsip, kerana sememangnya ijtihad atau tafsiran manusia keatas sesuatu teks asal dalam Al-Quran dan hadith terdedah kepada pelbagai ruang perbincangan ilmiah bergantung kepada dalil-dalil dan keterangan dari sumber yang lain yang sahih. Ulama-ulama silam telah mengakui hakikat ini dan mengiktiraf kewujudan pelbagai pendapat dalam sesuatu hukum.


Polemik

Namun jika diperhati secara halus slogan ini tidak ubah sepertimana puak khawarij yang menggunakan slogan 'barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia kafir', Cuma bezanya mereka menggunakan slogan ini dalam bentuk kebalikan dari slogan yang digunakan oleh puak Khawarij. Saidina Ali pernah berkata tentang slogan puak Khawarij sebagai, "ungkapan yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah".

Begitu jugalah dengan slogan 'kami tidak menolak hukum Allah, namun kami menolak Hudud PAS'. Ia mempunyai maksud yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah.
Lebih jauh dari itu kenyataan ini ialah suatu kenyataan jahat yang seakan menyandarkan kepalsuan pula kepada ijtihad-ijtihad ulama PAS dan penggubal perundangan Syar'ie dengan mengatakan ijtihad mereka hanya 'tafsiran manusia'. Penggunaan istilah 'tafsiran manusia' sudah pasti mengundang kekeliruan kepada orang awam yang jahil selok belok agama dan menyangka ia boleh ditolak mentah-mentah sebegitu sahaja.

Berdolak-dalik

Pada saya ini adalah senjata terakhir bagi mana-mana pihak yang tidak mahu melihat hukum Allah terlaksana di atas muka bumi dengan cara yang paling berdiplomasi dan berhikmah. Dahulu UMNO adalah juara dalam berdalih dengan menggunakan alasan di atas, namun kini ia juga digunakan oleh orang Islam yang berfahaman liberal yang kini tidak berani menyuarakan penentangan mereka secara terbuka terhadap hukum Allah itu.

Saya ingin bertanya kepada pihak yang sering menggunakan alasan di atas, jika anda merasakan bahawa Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia', bagaimana pula dengan pegangan feqah yang kini digunapakai oleh umat Islam di Malaysia sehari-hari, termasuk diri anda sendiri? Adakah ia diambil terus dari Al-Quran dan hadith secara 'direct' dan bulat-bulat? Setahu saya, dari hal solat, puasa, zakat dan urusan haji semuanya di olah dari 'TAFSIRAN MANUSIA' (baca: tafsiran Ulama') oleh Imam Empat Mazhab yang terkemuka dalam Islam. Siapa diantara kita yang tidak bergantung kepada 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') ini dalam soal urusan agama?

Serah kepada yang 'ahli'.

Jika kita menolak 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') dalam soal urusan agama ini, adakah kita sudah cukup ALIM dan berkelayakan untuk mengolah dan mengistinbat sesuatu hukum mahupun berijtihad dengan displin-disiplin berpandukan kaedah-kaedahnya tersendiri...tidak bukan?? Berapa ratus ribu hadith berserta sanadnya yg kita hafal? sudahkah kita menghafaz Al-Quran dengan memahami uslub, menguasai Tafsir dan isi kandungannya? Bagaimana pula dengan kitab-kitab muktabar karangan Ulama'-ulama terbilang sepanjang zaman yang terdahulu? Sudahkah kita menguasainya?

Pada saya , jika lidah kita lebih ringan menyebut perkataan Inggeris dari perkataan Arab jangan mimpilah nak mentafsir dan menjelaskan isi Al-Quran dan hadith.

Sedangkan Kitab 'Fiqh Sunnah' karangan Syed Sabiq yang cuba keluar dari tafsiran mazhab dengan melihat masalah Fiqh dari sudut kontemporari pun adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). Saya tidak tahu bagaimana lagikah yang dimaksudkan oleh pengguna slogan tadi dengan definisi 'tafsiran manusia'.

Jika anda merasakan Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia' silalah anda bersolat atau berpuasa dengan cara yang tersendiri tanpa perlu merujuk kepada Ulama'-ulama yang telah berjasa dalam bidang ilmu Islam kerana ia adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') semata-mata.

Barangkali pendukung fahaman Islam liberal percaya Islam boleh ditafsirkan mengikut pemahaman dan selera pemikiran manusia itu sendiri. Jika itu yang mereka percaya saya juga boleh menggunakan hujah yang sama iaitu, "itu adalah tafsiran anda (tafsiran manusia) sedangkan kalam Allah adalah suci sama sekali dari apa yang anda perkatakan, bagaimana anda boleh begitu yakin dengan tafsiran anda sendiri (baca; tafsiran manusia) terhadap agama sedangkan tafsiran anda hanya lahir dari pemikiran anda yang dangkal (baca: tafsiran manusia)".


Kelayakan mentafsir

Suatu hakikat yang pasti ialah sejak kewafatan Rasulullah s.a.w, tiada lagi pihak yang dapat mentafsir, menghadam dan memahami isi kandungan Al-Quran dan hadith melainkan manusia (baca: Ulama'). Ini kerana risalah Islam bukan diturunkan kepada binatang, atau pohon kayu mahupun gunung ganang. Tugas menyebar dan memahamkan manusia kepada risalah Islam ini terbeban kepada bahu manusia (baca: Ulama'). Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Ulama' adalah pewaris para Nabi" (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu ‘anhu).

Jika agama tidak dibenarkan untuk di'tafsir' oleh manusia kerana bimbang 'kesucian' ajarannya tercemar, siapa lagi yang kita boleh serahkan kepercayaan untuk mentafsir dan memahami urusan agama ini? adakah kita serahkan kepada haiwan atau patung yang tidak boleh berkata-kata?

Hakikatnya kita perlu akur bahawa mahu tidak mahu mesti ada 'manusia' (baca: Ulama') yang bertindak sebagai pengantara, penjelas dan pentafsir dalam urusan agama ini. Cuma persoalan yang mungkin timbul ialah sejauhmana tafsiran Ulama' itu tadi menepati kehendak sebenar Al-Quran dan hadith.

Jika kebimbangan itulah yang menjadi faktor utama maka mengapa tidak anda sendiri mengemukakan tafsiran yang lebih tepat, jika anda merasakan tafsiran pihak lain adalah salah dan tidak menepati kehendak Kalam Allah yang suci?

Sesuatu yang menarik ialah golongan yang menggunakan alasan ini tidak pula mengemukakan sesuatu yang lebih 'asli dan suci' dari apa yang mereka sifatkan sebagai 'tercemar' kerana ia hanya 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). UMNO yang lantang menggunakan senjata itu sejak dahulu lagi namun hingga ke hari ini mereka hanya sekadar menjadi 'Pak angguk' dalam Sidang DUN Kelantan ketika pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah 1993 dibentangkan. Begitu juga pihak-pihak lain yang kini sudah pandai meniru cara UMNO berdolak-dalih dalam isu ini.

Hakikatnya hingga ke hari ini pihak yang mengajukan kebimbangan tadi tidak melakukan apa-apa tindakan pun apatah lagi menzahirkan sebarang hasrat ke arah itu.

Apabila mereka sedar mereka ketandusan hujah dan dalil, mereka beralih kepada fiqh awlawiyat sebagai benteng terakhir. Kononnya suasana belum kondusif dan ia bukan keutamaan mereka buat masa ini. Permainan ini nampaknya menyelamatkan mereka.

Timbul persoalan, benarkah mereka menolak apa yang di sebut sebagai 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') atau sebenarnya ada udang di sebalik mee??

(Pena Sidang)

Sunday, February 1, 2015

PEMERINTAH GENG SONGKOK TINGGI

Yang menguasai negara kini
kalimah mereka semuanya bertatah indah
Menyirna di hari pagi hingga kembali ke kamar mimpi
Macam tiada gundah
Macam semuanya mudah dan
macam tiada diulit masalah.

Sungguh sombong lagak berpakaian
Seolah mereka yang mendatangkan desir angin
menakung air di gunung dan
menurunkan titis hujan

Sedangkan hakikatnya 
Mereka tumpang kemasyhuran Tuhan
demi mengumpan kuasa
mereka ejen pendusta
yang sangat jauh dari nasihat agama.

Friday, January 30, 2015

PEMBANGUNAN BANDAR BERMASYARAKAT MADANI

1. Keperluan hidup bermasyakat mewajibkan wujud pertemuan berbagai kelompok manusia dari berbagai latarbelakang untuk mengumpulkan keperluan asasi bagi kehidupan diri, keluarga dan masyarakat umum. Keperluan asasinya adalah seperti bahan bagi makanan, pakaian, penginapan, perhubungan dan lain-lain sehingga segala kemudahan hidup untuk penambahbaikan, nilai dan kemewahan. Maka wujudnya bandar dan segala pengurusanya, menjadi rukun dan syarat hidup bermasyarakat di peringkat negara dan antarabangsa.

2. Ibnu Khaldun (1332M – 1406M), yang bergelar bapa ilmu “sosiologi – historiogafi – ekonomi” tersohor di seluruh dunia menegaskan lagi : “Bahawa bandar yang dibangun dan dihidupkan juga oleh masyarakat luar bandar dikelilingnya, dan semua pihak yang membekalkan bandar itu menjadi hidup dan maju”. Hakikatnya bukan sahaja peniaga besar, bahkan termasuk peniaga kecil yang datang dari kampung dan pendalaman, sehinggalah petani, nelayan dan pengangkut hasil yang membawanya ke bandar, antara bandar dan sekitarnya, sehingga diedarkan, kerana hasil yang berbeza antara desa dan bandar; dan semuanya menjadi keperluan bersama.

3. Pembangunan bandar bukan sahaja dilihat dari segi kemudahan asas lahiriyah seperti lebuh raya, jalan raya, bangunan, kenderaan yang mencukupi untuk manusia dan barangan, dengan sistem lalu lintas yang lancar dan teratur. Bukan sahaja bangunan industri yang memperoses segala hasil dengan segera, kualiti yang baik, nilai tambah yang menguntungkan. Pasar borong, pasar raya, dan gedung-gedung yang teratur oleh mereka yang merancang bagi pembangunan bandar dan hubungannnya dengan desa; semuanya adalah keperluan perbandaran.

4. Satu hakikat yang kita selalu lupa, atau dilupaka oleh pemodenan yang bersimpang siur bahawa hubungan jasad dan roh kalangan manusia disemua peringkat yang berkaitan bagi mewujudkan keharmonian juga sangat penting, khususnya dalam himpunan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Pembangunan insan melalui pendidikan, media, pengurusan dan pentadbiran yang dikawal oleh undang-undang sahaja tidak mencukupi. Ini adalah kerana menjalinkan hubungan sesama manusia tidak sama dengan menyusun kayu dan batu-bata mendirikan bangunan, disebabkan manusia itu ada perasaan yang boleh tersentuh dengan mudah dan menolak paksaan.

5. Dalam aspek ekonomi pendekatan liberal kapitalisma didapati menzalimi orang miskin sehingga menimbulkan pertembungan kelas taraf kehidupan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam hidup bermasyarakat. Pendekatan sosialis pula boleh menzalimi orang kaya yang menyumbang kemajuan ekonomi negara. Pendekatan komunis yang lebih radikal sehingga menolak agama menjadi lebih parah. Semuanya tidak dapat memenuhi fitrah manusia atau nalurinya. Manusia punya jasad, roh dan akal, tidak dapat hidup secara individualistik dan mestilah bermasyakat, mewajibkan keseimbangan yang saksama dalam semua aspek. Dunia telah menyaksikan kegagalan semua pendekatan itu. Bandar yang menjadi pusat bergeraknya kegiatan ekonomi, politik dan sosial menerima padah awal daripada segala kesannya yang positif dan negatif.

Rasulullah S.A.W. menegaskan dengan sabdanya:

رحم الله رجلا سمحا إذا باع وإذا اشترى وإذااقتضى (البخاري

(Allah memberi rahmat kepada seseorang yang bersikap pemaaf apabila dia menjual, membeli dan mengendalikan urusan).

Peringatan ini menunjukkan bahawa kita semua wajib bertimbang rasa oleh semua pihak, peniaga, pengguna, dan pentadbir.

6. Dalam aspek politik mengendalikan bandar, maka oleh itu wajib kita mengambil kira semua pihak dan lapisan yang memakmurkan bandar itu. Maka pilihan raya Majlis Perbandaran seperti yang diperjuangkan oleh DAP adalah kembali kepada kesilapan, kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek. Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina yang sangat besar. Lihat sahajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di majlis daerah di kawasan desa di Selangor yang pula bermajoritikan satu kaum yang lain.

7. Kita tidak seharusnya melihat kemenangan politik dan penguasaan ekonomi untuk satu pihak dalam masyarakat majmuk. Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi “api dalam sekam” untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara.

8. Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan arah, temasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal dalam kawasan paling pedalaman dan kaum yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar. Wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaafan dalam perkara yang berbeza, berlaku adil terhadap semua.

9. Bandar wajib diurus bukan sahaja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya, yang menjadi laksana darah yang mengalir ke dalam jasadnya. Kalau perjalanannya tidak betul, lebih-lebih lagi kalau tersumbat menyebabkan akibat yang sangat malang.

Monday, January 26, 2015

TENTANG BALA

Mereka yang jadi mangsa
Tertimbus tertimbun
Hilang dan tenggelam
Tandus tanah disudut gersang
Mencari kekuatan merenung redho
Memohon ehsan dan rezeki Tuhan.

Mereka yang perihatin
Tiada putus ulang alek 
Menghulur tangan
Meredah hutan membelah banjaran
Dengan sukarelawan, dermawan dan budiman
Dengan pacuan bertan-tan
Moga dipanjang hajat teman perjuangan

Mereka yang masih lagho
Grup-grup pendosa menjemput bala
Jaguh-jaguh ketawa dan
juara-juara penghibur lara
Berasa diempok kerusi kuasa
Umpama Tuhan empunya nyawa
Senyum berhalimun keliling dunia.